KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO, yang bakal mencecah usia 80 tahun, kekal sebagai antara parti politik tertua di rantau ASEAN, dengan legasi perjuangan yang mencerminkan ketahanan serta peranan penting dalam pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata dengan sejarah yang panjang, UMNO telah melalui pelbagai fasa perjuangan dan perubahan landskap politik yang mencerminkan pengalaman, ketahanan serta peranan penting dalam pembangunan negara.
"Seiring dengan peredaran masa, usaha melahirkan barisan pelapis yang berwibawa amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan dan kekal relevan pada masa hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian bersempena dengan keluaran khas ulang tahun ke-80 UMNO.
Menurut perkongsian itu, UMNO yang ditubuhkan pada 1946 bakal mencapai usia lapan dekad pada tahun ini, menjadikannya setaraf dengan beberapa parti politik lama di ASEAN termasuk Parti Demokrat Thailand, selain Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang berusia 70 tahun dan Golkar Indonesia, 60 tahun.
-- BERNAMA