DUNIA

Indonesia Kecam Serangan Israel Ke Atas Lubnan, Gesa Gencatan Senjata Segera

10/04/2026 12:36 PM

JAKARTA, 10 April (Bernama) -- Indonesia mengutuk serangan terancang Israel ke atas Beirut dan beberapa kawasan lain di Lubnan, mengakibatkan kemalangan jiwa dalam kalangan orang awam serta kemusnahan yang meluas. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi akaun X, berkata serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian berisiko memburukkan ketegangan serantau serta menjejaskan keselamatan global.

“Indonesia menuntut agar Israel segera dan secara kekal menghentikan semua permusuhan dan pencerobohan di Lubnan.

“Indonesia juga menegaskan kepentingan melindungi orang awam dan infrastruktur awam, selaras dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Indonesia juga menggesa semua pihak supaya menahan diri, mengambil langkah ke arah meredakan ketegangan, mengutamakan dialog serta mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543262