SUKAN

BAC 2026: Tang Jie-Ee Wei Kalah Kepada Pasangan Ke-147 Dunia Di Suku Akhir

10/04/2026 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pasangan beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kalah mengejut pada suku akhir Kejohanan Badminton Asia 2026, selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong di Ningbo, China, hari ini.

Pasangan nombor empat dunia itu, kalah 19-21, 17-21 dalam tempoh 46 minit kepada pasangan ke-147 dunia, di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Walaupun Tang Jie-Ee Wei bermain dengan baik pada set pertama dan mendahului pada beberapa ketika, namun mereka gagal memanfaatkan mata-mata penting, sekali gus membolehkan lawan mereka mendahului pada penghujung permainan.

Set kedua menyaksikan Jae Hyeon-Ha Jeong semakin yakin dan menguasai permainan sepenuhnya dengan permainan jaring yang tajam serta pertahanan yang kukuh, sehingga tidak memberi ruang kepada pasangan Malaysia untuk bangkit.

Pasangan Korea tersebut akan menentang wakil Jepun Yuta Watanabe-Maya Taguchi, pada peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543281