SUKAN

Piala Thomas 2026: Wan Arif-Roy King 'Mungkin' Tiada Dalam Senarai - Herry

10/04/2026 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memberikan bayangan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berkemungkinan tidak berada dalam senarai perancangan utama skuad Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei ini. 

Beliau berkata ini kerana prestasi ranking ke-16 dunia itu masih belum mencapai tahap konsisten, khususnya dalam mengendalikan mata penting ketika perlawanan berlangsung.

“Seperti di Kejohanan Badminton Asia 2026, pada mata genting seperti 18 dan 19, masih banyak melakukan kesilapan.

“Kita boleh cuba mereka (di Piala Thomas), tetapi mungkin ada pasangan lain yang lebih bersedia. Jadi, buat masa ini mereka belum berada dalam senarai, lebih kurang seperti itu,” katanya kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Herry bagaimanapun menegaskan keputusan muktamad pemilihan pemain akan ditentukan pihak pengurusan selepas perbincangan lanjut bersama barisan kejurulatihan, termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM Rexy Mainaky.

Pada Kejohanan Badminton Asia 2026, Wan Arif-Roy King tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 17-21, 21-17, 20-22.  

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543310