JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Direman Bantu Siasatan Pelajar Tingkatan Satu Maut Dirempuh

13/04/2026 11:50 AM

KOTA BHARU, 13 April (Bernama) -- Seorang guru wanita berusia 57 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan seorang pelajar perempuan di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, wanita itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, mangsa Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

Insiden itu turut mengakibatkan seorang lagi pelajar cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544216