JENAYAH & MAHKAMAH

12 Anggota Polis Suspek Samun Mata Wang Kripto Direhatkan Tugas Aktif - Ketua Polis Selangor

13/04/2026 03:53 PM

SHAH ALAM, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 12 anggota polis dipercayai terlibat dalam kes samun mata wang kripto milik seorang warga asing direhatkan daripada tugas aktif, kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar. 

Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan teknikal daripada agensi-agensi berkaitan sebelum siasatan diteruskan ke peringkat seterusnya. 

“Laporan teknikal masih diperlukan kerana melibatkan transaksi mata wang kripto. Justeru, kami menunggu laporan daripada agensi-agensi yang bersifat teknikal. 

“Namun ia hampir selesai dan kami belum dapat merujuk kepada pihak pendakwaan negeri kerana masih menunggu laporan-laporan teknikal berkenaan,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.

Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat Asisten Superintendan, Inspektor, Sarjan, Koperal (enam) Lans Koperal (dua) dan seorang Konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544296