JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Suspek Tetak Dua Lelaki Di Teluk Air Tawar

14/04/2026 09:30 PM

BUTTERWORTH,  14 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tetak sehingga menyebabkan dua lelaki cedera parah dalam kejadian di Teluk Air Tawar pada malam Ahad lepas yang video insiden itu turut tular di media sosial sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt C.Tharmalingam berkata lelaki itu ditahan pada 4  petang hari ini di kawasan Penang Sentral di sini.

"Siasatan awal mendapati suspek menyerang seorang lelaki  dipercayai menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa putus jari dan dia turut menetak seorang lagi mangsa yang cuba membantu rakannya itu, di bahagian belakang badan.

"Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu esok bagi membantu siasatan kes tersebut. Kes itu siasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini

Beliau berkata dengan penahanan lelaki berusia 40-an itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes tersebut.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mengamuk di hadapan sebuah rumah sebelum mengejar beberapa individu di kawasan berkenaan dan menetak dua lelaki di situ.             

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544953