DUNIA

Jepun Harap AS, Iran Akan Segera Capai Perjanjian Damai, Redakan Situasi Asia Barat

13/04/2026 06:51 PM

TOKYO, 13 April (Bernama-Kyodo) -- Jepun berharap satu "perjanjian muktamad" akan segera dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk meredakan situasi Asia Barat, kata jurucakap tertinggi kerajaan pada Isnin, selepas rundingan damai hujung minggu Washington-Tehran gagal mencapai kesepakatan, lapor Kyodo News.

"Apa yang paling penting ialah meredakan ketegangan, termasuk memastikan keselamatan pelayaran melalui Selat Hormuz, sebenarnya tercapai," kata Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara pada sidang akhbar, sambil menambah Tokyo sedang mengikuti perkembangan rundingan itu dengan teliti dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa.

Kihara juga berkata tiada keputusan dibuat sama ada Jepun bercadang untuk menghantar Pasukan Pertahanan Diri negara itu bagi operasi pembersihan periuk api di selat berkenaan, laluan pengangkutan tenaga global di mana Iran mungkin telah meletakkan periuk api bagi mengukuhkan sekatan de factonya.

Berikutan perjanjian gencatan senjata mereka selama dua minggu, AS dan Iran mengadakan rundingan dua hari hingga Ahad di Islamabad, ibu negara Pakistan yang bertindak sebagai pengantara, namun gagal mencapai perjanjian damai.

Jepun bergantung pada Asia Barat bagi lebih 90 peratus import minyak mentahnya yang kebanyakannya transit di selat itu.

Selat tersebut telah ditutup secara berkesan oleh Iran sejak AS dan Israel menyerang negara itu pada akhir Feb.

Jepun, sekutu keselamatan AS yang rapat, secara tradisinya mengekalkan hubungan mesra dengan Iran.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544431