ALOR GAJAH, 21 April (Bernama) -- Seorang penganggur ditahan bersama 3.94 kilogram dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM591,607.50 di Lebuhraya Pedas-Ayer Keroh di sini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kerana memandu dalam keadaan laju oleh anggota polis peronda lebuh raya dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika tugas ronda cegah kemalangan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemukan bahan terlarang terbabit selain polis turut menyita kereta digunakan suspek yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.
Ahmad berkata sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak tahun lepas dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan 12,147 penagih.
Beliau berkata saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif namun lelaki berkenaan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah yang telah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 6(3) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Katanya, suspek direman tujuh hari bermula 16 April hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA