EKONOMI

Hong Leong Bank Bersedia Bantu Pelanggan Terjejas Susulan Konflik Asia Barat

14/04/2026 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Hong Leong Bank Bhd dan HLB Islamic Bank Bhd bersedia membantu pelanggan yang berdepan tekanan kewangan susulan situasi semasa di Asia Barat.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan perbankan itu berkata pihaknya komited untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terjejas untuk mengetahui keperluan khusus mereka dan menyediakan bantuan sewajarnya dalam mengharungi tempoh mencabar ini.

Ini berikutan ketidaktentuan serantau boleh memberi kesan berbeza kepada individu dan perniagaan.

“Sehubungan itu, bank akan menilai setiap permohonan bagi menawarkan penyelesaian kewangan yang disesuaikan serta pengaturan pembayaran balik yang fleksibel mengikut situasi masing-masing.

“Pendekatan berasaskan keperluan individu ini membolehkan kami memberikan sokongan yang lebih berkesan di samping membantu pelanggan mengekalkan kedudukan kewangan keseluruhan mereka,” katanya.

Kumpulan itu berkata pelanggan yang menjangkakan atau sedang menghadapi kesukaran kewangan digalakkan untuk menghubungi pihak bank bagi membolehkan penilaian dibuat dan dicadangkan bantuan yang bersesuaian.

Untuk maklumat lanjut atau permohonan bantuan, pelanggan boleh melayari laman sesawang rasmi Hong Leong Bank di https://www.hlb.com.my/rnr atau berhubung dengan pengurus perhubungan masing-masing.

-- BERNAMA

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544807