GAYA HIDUP

Tokyo Symphony Orchestra, MPO Bergabung Semula Dalam Konsert Hebat Di Malaysia

14/04/2026 06:54 PM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Tokyo Symphony Orchestra (TSO), orkestra Jepun yang mendapat pengiktirafan antarabangsa bakal bersatu buat kali kedua dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dalam sebuah konsert hebat dan memukau pada 18 April ini di Dewan Filharmonik Petronas, di sini.

Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata konsert itu berlangsung pada waktu yang amat bermakna ketika kedua-dua negara bersedia menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik tahun depan selain persembahan kali ketiga TSO di Malaysia selepas kejayaan dua penampilan pada tahun lalu.

“Momentum kini semakin berkembang ke arah memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk budaya. Persembahan TSO bukan sahaja memperlihatkan kecemerlangan muzik, tetapi juga menunjukkan bagaimana seni mampu merapatkan hubungan manusia, membina kefahaman dan memupuk rasa hormat antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

TSO membuat penampilan sulung di Malaysia pada 1 Jun 2025 dan pertama kali berkolaborasi dengan MPO pada 13 Sept 2025

Shikata berkata TSO, yang terlibat dalam Projek Asia bagi mempromosikan budaya muzik di seluruh rantau ini, mencerminkan diplomasi budaya Jepun melalui penglibatan dan penciptaan bersama.

“Hubungan rapat antara Jepun dan Malaysia hampir tujuh dekad. Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kira-kira 28,000 pelajar dan pelatih Malaysia telah menuntut di Jepun dan mereka kembali menyumbang kepada pembangunan negara.

pic-2

“Berdasarkan asas ini, hubungan kita hari ini menekankan pertukaran bersama dan penciptaan bersama, satu semangat yang saya sifatkan sebagai ‘Look at Each Other’, termasuk dalam budaya dan seni,” katanya.

Beliau menekankan dengan adanya geran daripada Uehiro Foundation on Ethics and Education, sebuah organisasi pendidikan bukan berasaskan keuntungan dari Jepun yang memfokuskan pada etika dan kegiatan sosial budaya, TSO dapat memperluas jangkauan kepada masyarakat melalui konsert dan program pendidikan.

"Inisiatif ini mengeratkan hubungan antara Jepun dan negara-negara Asia, khususnya Malaysia dan ASEAN, dengan membuka ruang kepada pemuzik muda, memperkukuh hubungan antara masyarakat serta membina kepercayaan yang berkekalan. Ringkasnya, ia menterjemahkan aspirasi bersama kepada pengalaman bersama, sekali gus memperkaya kehidupan budaya serantau dan merapatkan hubungan antara komuniti.”

“Uehiro Foundation on Ethics and Education telah memberi sumbangan penting bukan sahaja kepada pendidikan etika dan penyelidikan akademik, tetapi juga kepada inisiatif budaya dan seni,” kata Shikata, yang akan menghadiri konsert tersebut.

Menyentuh tema konsert yang mempersembahkan Symphony  No. 4 oleh Anton Bruckner, komposer Austria abad ke-19, Shikata berkata karya tersebut antara yang paling diagungkan dan menjadi manifestasi muzik simfoni Romantik Eropah yang meraikan keindahan alam dan imaginasi seni.

“Ia ditandai dengan struktur yang megah, limpahan harmoni dan suasana yang menggugah jiwa, sering dihubungkan dengan keindahan alam dan gambaran era pertengahan.”

“Di Jepun, karya simfoni ini turut menerima sambutan meluas dan sering dipentaskan, terutamanya dalam kalangan penggemar muzik klasik serta para pemuzik,” kata Shikata.

pic-3

Sementara itu, Pengarah Urusan TSO Yoshitaka Hirooka berkata orkestra itu turut merancang aktiviti pendidikan berasaskan komuniti dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun di Malaysia.

“Ini termasuk membimbing orkestra belia serta mengadakan konsert di sebuah sekolah Jepun dan sekolah rendah tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544874