SUKAN

e-Sukan Platform Bentuk Kemahiran Insaniah Pelajar

15/04/2026 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Jika dahulu e-sukan hanya dilihat sebagai aktiviti bagi menghabiskan masa lapang atau hobi, namun kini sukan berkenaan mula mencorakkan landskap pendidikan apabila potensinya sebagai medium pembelajaran semakin mendapat perhatian.

Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, e-sukan bukan lagi sekadar medan persaingan digital, sebaliknya ruang yang membentuk pelbagai kemahiran insaniah dan teknikal seperti pemikiran strategik, komunikasi, kerjasama berpasukan serta keupayaan membuat keputusan secara pantas.

Malah, pemain profesional Mobile Legend Bang Bang (MLBB) Muhammad Faiz Faryzal Mohammad Farith berjaya membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam dunia e-sukan bukan penghalang untuk meraih keputusan cemerlang dalam akademik.

Muhammad Faiz atau lebih dikenali sebagai Ryzz, berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, yang diumumkan baru-baru ini.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan Meru, Muhammad Firhan Najmi Mohd Ghaz berkata menerusi platform e-sukan seperti permainan MLBB membantu pelajar untuk berfikiran lebih kritis, yang akan membantu mereka dalam pembelajaran.

“Bila mereka bermain, sudah tentu mereka perlu tahu mengenai strategi dan ini secara tidak langsung membantu untuk melatih otak kiri dan otak kanan untuk sentiasa berfikir.

“Ini juga secara tidak langsung akan membantu mereka untuk berfikir dengan lebih kritis,” katanya yang juga peserta Masterclass Guru Juara MOONTON.

Program Masterclass Guru juara MOONTOON, yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ialah program pembangunan profesional, yang dirangka untuk guru sekolah rendah bagi memperkukuh pendekatan pembelajaran menerusi pendedahan kepada pengurusan permainan digital dan strategi pengajaran inovatif berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

Program itu turut memberikan latihan praktikal kepada guru dalam mengendalikan pertandingan permainan digital secara lebih tersusun, selain memperkenalkan penggunaan Tinkercad bagi membantu murid meneroka kemahiran reka bentuk 3D.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545163