SHAH ALAM, 15 April (Bernama) -- Usaha mengawal populasi haiwan terbiar di kawasan bandar terus diperkasakan menerusi Program Potong Royong 2026 anjuran Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.
Siri pertama program itu, yang mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Universiti Putra Malaysia (UPM), Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) serta 15 sukarelawan, berjaya merekodkan sebanyak 160 kucing dan anjing dimandulkan.
Ahli Lembaga Pengarah SPCA Selangor Dr Natasha Lee berkata inisiatif yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lepas itu, dilihat sebagai usaha mengekang pembiakan tidak terkawal, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan dan kebajikan haiwan terbiar.
“Dalam dua hari pertama, kita telah memandulkan 120 ekor kucing, manakala hari ini anggaran hingga 40 ekor anjing akan dimandulkan. Secara keseluruhan, kita berjaya mencapai sasaran.
“Program ini merupakan potong royong berskala kecil kerana bagi program berskala besar, ia biasanya dijalankan selama enam hari kerana permintaan memang tinggi, namun jumlah penyertaan bergantung kepada peruntukan yang diperoleh,” katanya kepada Bernama di Dewan Kemunting, Seksyen 25, di sini hari ini.
Dr Natasha yang juga Pengarah Star Pets Animal Clinic berkata pelaksanaan program secara berkala itu turut membuka akses kepada orang awam untuk mendapatkan perkhidmatan pemandulan pada kos yang jauh lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa.
“Kadar bayaran bersubsidi sebanyak RM50 bagi kucing, dan RM100 bagi anjing ditawarkan bagi memastikan penyertaan lebih meluas. Kebiasaannya, kos pemandulan kucing mencecah RM200, manakala anjing melebihi RM300.
“Pendekatan subsidi ini membolehkan lebih ramai pemilik tampil untuk memandulkan haiwan peliharaan masing-masing.
“Selain pemandulan, program ini turut merangkumi vaksinasi dan rawatan asas bagi membantu mengawal penularan penyakit dalam kalangan haiwan,” katanya.
Program Potong Royong ialah inisiatif utama SPCA Selangor yang dilaksanakan sejak 2023 bagi mengawal populasi haiwan melalui pemandulan berskala besar dengan kerjasama PBT, UPM, MAVMA serta sukarelawan.
Sejak diperkenalkan, program ini mencatat peningkatan jumlah pemandulan daripada 1,354 haiwan pada 2023 kepada 2,029 pada 2024, sebelum merekodkan 1,651 pada tahun lepas.
Pelaksanaannya meliputi beberapa lokasi termasuk Shah Alam, Ampang Jaya dan Kuala Langat dalam usaha mengawal pembiakan serta meningkatkan kebajikan haiwan melalui rawatan, vaksinasi dan pendidikan komuniti.
-- BERNAMA