JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Didenda, Dikenakan Khidmat Masyarakat Kerana Buang Sampah, Puntung Rokok

15/04/2026 07:38 PM

MELAKA, 15 April (Bernama) -- Lima individu termasuk seorang lelaki warga asing didenda antara RM100 hingga RM10,000 serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dakwaan berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembuangan puntung rokok di tempat awam.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan hukuman itu selepas Shah Sardar, 29, dan empat warga tempatan iaitu Muhammad Aqil Sofidaliny, 26, Mohd Shahril Liwan, 43, Muhammad Syahmi Zulkipli,32 dan Mohamad Shafhan Mustapha, 28 selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku salah atas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Bagi pertuduhan utama, Shah Sardar, lelaki warga Pakistan didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa isi rumah tanpa kebenaran di atas tanah milik di Mukim Batu Berendam pada 27 Feb 2024 kira-kira 10 pagi. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 71(8) akta sama.

Sementara itu, empat lagi OKS warga tempatan didakwa di bawah Seksyen 77A (2) dan 77B(1) akta sama kerana membuang puntung rokok di tempat awam dan bukan dalam bekas disediakan.

Muhammad Aqil didapati melakukan kesalahan itu di siar kaki hadapan sebuah bank di Kompleks Perniagaan Al-Azim pada 10.22 pagi, 15 Jan lepas.

Muhammad Syahmi pula melakukan kesalahan sama di Pantai Klebang pada 4.43 petang, 1 Jan lepas, Mohamad Shafhan di hadapan Menara Taming Sari pada 2 Jan lepas sekitar 11 pagi, manakala Mohd Shahril melakukan kesalahan di pekarangan sebuah pasar raya di Jasin pada 11.40 pagi, 20 Jan lepas  

Jika sabit kesalahan, kesemua OKS berdepan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000  atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Dewira Sherra Norman dan Abd Hadi Abd Wahab mencadangkan hukuman berbentuk pengajaran, khususnya terhadap warga asing dengan alasan OKS sudah lama menetap di Malaysia dan sepatutnya memahami undang-undang negara ini. 

Peguam Casian Anthony yang mewakili Shah Sardar manakala kesemua OKS warga tempatan tidak diwakili peguam, memohon agar hukuman denda minimum dikenakan atas faktor tanggungan keluarga, baru mendapat pekerjaan serta masalah kesihatan. 

Mahkamah kemudian menetapkan Shah Sardar didenda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. 

Muhammad Aqil dan Muhammad Syahmi pula masing-masing didenda RM300 serta diperintahkan menjalani PKM selama 12 jam manakala Mohammad Shafhan dikenakan denda RM200 dan perlu menjalani PKM selama lapan jam, sementara Mohd Shahril didenda RM100 dan PKM selama empat jam. 

Kesemua OKS diperintahkan menamatkan jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545215