DUNIA

Duta Itali, Premier Sarawak Bincang Perkukuh Kerjasama Tenaga Dan Aeroangkasa

15/04/2026 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Duta Itali ke Malaysia, Raffaele Langella mengadakan lawatan ke Kuching pada Rabu bagi memperkukuh hubungan antara Itali dan Sarawak, terutamanya dalam sektor utama ekonomi. 

Menurut kenyataan Kedutaan Itali, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyaksikan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan produktif tertumpu kepada usaha memajukan kerjasama dalam bidang tenaga dan aeroangkasa.

"Dalam konteks hubungan yang semakin kukuh antara negara kami dan Malaysia, kami memberikan perhatian serius untuk memperkasakan jalinan kerjasama dengan Sarawak - bermula dengan sektor tenaga dan aeroangkasa," kata Langella di luar mesyuarat berkenaan.

Duta itu turut mengetengahkan potensi kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua pihak dalam sektor pelancongan.

Beliau juga menzahirkan kekaguman terhadap kekayaan warisan budaya di Borneo dan menyatakan minat yang mendalam untuk memperkukuh dialog artistik serta akademik dengan masyarakat dan institusi di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545407