JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pemandu Bas Ekspres, Kekasih Ditahan Ketika Beri Keterangan Kepada Polis

15/04/2026 09:50 PM

JASIN, 15 April (Bernama) -- Bekas pemandu bas ekspres dan seorang wanita dipercayai kekasihnya, ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert berkata sebelum itu, pemandu lelaki berumur 36 tahun dan wanita berusia 21 tahun terbabit tiba pada 4.30 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung tindakan lelaki itu yang didakwa meriba kekasihnya ketika memandu bas ekspres di Lebuh Raya Utara–Selatan (PLUS), baru-baru ini.

"Siasatan awal mendapati lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu mengenali wanita berasal dari Kedah itu sejak lima bulan lepas dan kedua-duanya dirakam keterangan selama dua jam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lee berkata kejadian dipercayai berlaku selama beberapa minit di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.

Beliau berkata lelaki itu memberikan alasan melakukan aksi berbahaya tersebut kerana wanita berkenaan teruja dan ingin belajar memandu bas.

"Lelaki terbabit mempunyai pengalaman memandu bas selama 10 tahun, manakala wanita itu bekerja sebagai petugas kaunter tiket di syarikat bas lain," katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan kejadian itu dipercayai berlaku pada 12 April lepas kira-kira 7.30 malam di kawasan susur masuk R&R Bemban arah selatan dan rakaman video kejadian itu dikesan tular kira-kira 5.30 petang pada 13 April oleh pihak polis.

-- BERNAMA


 


 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545415