JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pemandu Bas Ekspres Dan Kekasih Dipenjara, Denda RM5,000 Pandu Bahaya

17/04/2026 02:49 PM

JASIN, 17 April (Bernama) -- Bekas pemandu bas ekspres dan kekasihnya yang video mereka tular kerana aksi meriba ketika memandu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Ahad lepas, dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Arif Fahmi Abd Salam, 36, manakala Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan, selain masing-masing didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa memandu bas nombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam di susur kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, PLUS pada 7.30 malam, 12 April lepas mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun daripada tarikh sabitan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh kerana tindakan mereka membahayakan nyawa 27 penumpang yang berada dalam bas berkenaan, selain lesen memandu Arif Fahmi telah tamat tempoh pada 1 April lepas ketika kejadian tersebut berlaku.

Pasangan itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman ringan atas alasan perbuatan itu merupakan kesalahan pertama dilakukan mereka.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kedua-duanya bermula dari tarikh sabitan.

Sementara itu, di mahkamah sama Nur Adila Najwa turut didenda RM100 selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina terhadap seorang wanita pada 6 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1935 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545960