JENAYAH & MAHKAMAH

Buli: Tujuh Pelajar Sekolah Menengah Di Kajang Dikenakan Tindakan Disiplin

17/04/2026 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Tujuh pelajar sekolah menengah di Kajang dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah, selepas dikesan terlibat dalam kejadian buli lisan yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 47 saat, yang memaparkan sekumpulan pelajar didakwa melakukan perbuatan buli secara lisan terhadap seorang pelajar perempuan.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam melibatkan tujuh pelajar daripada kelas berlainan, namun setakat ini tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak.

“Rakaman tidak menunjukkan berlakunya sentuhan fizikal atau interaksi lisan yang bersifat agresif.

“Pihak sekolah bersama pegawai polis yang merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), telah mengadakan pertemuan dan libat urus bersama ibu bapa serta penjaga mangsa. Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap tujuh pelajar yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Yusof berkata polis akan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah dan memastikan tiada sebarang bentuk perlakuan yang boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar, termasuk perkataan yang berpotensi mendatangkan gangguan emosi kepada mana-mana pelajar.

Terdahulu tular video menunjukkan beberapa pelajar lelaki dan perempuan sekolah menengah di Kajang menganggu seorang pelajar perempuan di dalam kelas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2546156