AM

Kampung Angkat MADANI: MOTAC Laksana Lima Projek Di Kampung Sungai Manik

18/04/2026 03:39 PM

TELUK INTAN, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melaksanakan lima projek penambahbaikan infrastruktur fizikal dan sosial di Kampung Sungai Manik di sini menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata projek itu termasuk menaik taraf Dewan Kebudayaan dan Agropelancongan yang bernilai RM700,000 manakala RM80,000 diperuntukkan untuk tujuan sama bagi surau dan tandas.

Beliau berkata RM40,000 pula disediakan bagi penyelenggaraan bilik utiliti iaitu garaj dan stor manakala RM150,000 untuk kerja elektrik.

“Inisiatif Kampung Angkat MADANI merupakan satu pendekatan strategik kerajaan dalam memperkasakan pembangunan komuniti luar bandar secara inklusif dan mampan. 

“Melalui program ini, kita bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan fizikal tetapi juga ekonomi dan sosial serta pemerkasaan identiti setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan penyerahan projek Kampung Angkat MADANI di sini hari ini.

Shaharuddin berkata usaha yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan itu memberi impak positif bukan sahaja dari segi peningkatan taraf hidup penduduk malah dapat merancakkan ekonomi setempat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan negara secara keseluruhan.

“Namun begitu, kejayaan sesuatu program tidak bergantung kepada pelaksanaan semata-mata.

“Ia memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak (iaitu) kerajaan, komuniti dan pemain industri untuk memastikan kelestarian serta keberkesanan inisiatif ini dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin menyeru semua penduduk Kampung Sungai Manik supaya bersama-sama menjaga dan memanfaatkan kemudahan serta peluang yang telah disediakan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2546335