GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan RM50,000 menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) bagi menyokong penganjuran Kejohanan Judo Jemputan Pulau Pinang.
Timbalan Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata geran berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem sukan negara khususnya dalam membangunkan sukan tempur di peringkat akar umbi dan antarabangsa.
Beliau berkata kejohanan berkenaan menunjukkan perkembangan ketara sejak diperkenalkan pada 2018, apabila berevolusi daripada pertandingan kecil berasaskan kelab kepada platform antarabangsa yang menarik penyertaan dari seluruh rantau dan luar negara.
“Bermula sebagai acara sederhana, kini telah menjadi pentas yang menyatukan bakat, disiplin dan persahabatan, dan dengan kehadiran begitu ramai bukti minat yang tinggi dalam kalangan rakyat Pulau Pinang terhadap sukan tempur,” katanya ketika berucap pada kejohanan yang berlangsung di Sunshine Central di sini hari ini.
Hadir sama Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Machida Shinya, Timbalan Presiden Persekutuan Judo Malaysia Dr Jeffery Louis dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang Harry Chai.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumata lepas, berjaya menarik 720 peserta dari 10 negara termasuk Malaysia, Australia, Jepun, Hong Kong, Uzbekistan, Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Mordi berkata penganjuran kejohanan berkenaan memberi peluang kepada atlet untuk mempamerkan kebolehan mereka di pentas global, di samping menyumbang kepada pembangunan sukan judo, iaitu sukan yang sering menekankan nilat hormat, disiplin dan ketekunan, sekali gus membentuk sahsiah dalam kalangan atlet muda.
“Pertandingan seperti ini memberi peluang kepada atlet muda, seawal usia lapan tahun hingga peringkat senior, untuk mencabar diri mereka, membina sahsiah serta membentuk persahabatan yang berkekalan merentasi sempadan,” katanya.
Sementara itu, Mordi berkata kerajaan menerui MADANI GPS, telah memperuntukkan RM30 juta tahun ini, untuk menyokong penganjuran acara sukan bertaraf dunia di negara ini.
Beliau berkata industri sukan terus menjadi penyumbang kepada ekonomi negara dengan menjana RM49.5 bilion dan menggesa lebih ramai pihak berkepentingan untuk bekerjasama dengan kementerian dalam memperkasakan ekosistem sukan yang lebih dinamik dan inklusif.
Katanya, usaha berkenaan amat penting sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027, dengan Pulau Pinang dijangkan satu daripada lokasi penganjuran temasya dwitahunan itu.
-- BERNAMA