POLITIK

Ahmad Zahid Nafi Kerajaan Ingin Tangguh PRN Kerana Takut Kalah

20/04/2026 06:13 PM

DUNGUN, 20 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas dakwaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Kerajaan Perpaduan bercadang menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kerana takut kalah pada pilihan raya berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Muhyiddin tidak seharusnya membuat andaian kerajaan akan mengambil tindakan menangguhkan pilihan raya seperti yang pernah dilakukan bekas perdana menteri itu ketika menerajui pentadbiran negara sebelum ini.

“Jadi, janganlah apa yang dia (Muhyiddin) buat, dia fikir orang lain akan buat macam dia juga,” katanya selepas merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilaporkan berkata cadangan penangguhan PRN didorong rasa takut akibat kehilangan sokongan rakyat.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dilaporkan mencadangkan penangguhan PRN kerana mahu mengurangkan beban rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup akibat krisis tenaga global.

Ahmad Zahid berkata tidak timbul soal hasrat menangguhkan PRN di kedua-dua negeri itu kerana keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak mutlak pemerintah negeri.

“Ini (PRN) terserah pada Tuan Yang Terutama (TYT), Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Agong sendiri kerana hak pembubaran DUN terletak kepada mereka,” katanya.

 -- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547074