WASHINGTON, 20 April (Bernama-dpa) -- Blue Origin berkata roket pengangkut New Glenn miliknya telah menempatkan sebuah satelit pada orbit yang lebih rendah daripada sasaran semasa pelancaran ketiganya pada Ahad, lapor agensi berita Jerman dpa.
Syarikat itu memaklumkan bahawa insiden berkenaan masih dalam siasatan.
“Kami sedang menilai situasi ini dan akan mengemas kini maklumat sebaik memperoleh butiran yang lebih lengkap,” menurut Blue Origin.
Roket itu berlepas seperti dijadualkan dari Cape Canaveral Space Force Station di Florida, sekali gus menjadi penerbangan pertama yang menggunakan semula roket penggalak yang pernah diterbangkan sebelum ini.
Penggalak itu juga berjaya mendarat di sebuah platform di Lautan Atlantik selepas berpisah daripada roket utama.
Bagaimanapun, satelit yang dinamakan Blue Bird 7 itu ditempatkan pada orbit lebih rendah daripada yang dirancang, menurut syarikat pengeluarnya, AST SpaceMobile.
New Glenn sebelum ini berjaya mencapai angkasa lepas dalam penerbangan sulungnya pada Januari 2025.
Dalam misi keduanya kira-kira 10 bulan kemudian, roket itu membawa dua pengorbit Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke angkasa lepas.
Blue Origin menyasarkan sistem New Glenn untuk bersaing dengan SpaceX milik Elon Musk, yang ketika ini menguasai pasaran pelancaran komersial.
-- BERNAMA-dpa