AM

Mesyuarat JKPB Lulus Tiga Kertas Pertimbangan Fokus Penyertaan Belia - Ahmad Zahid

21/04/2026 04:00 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Ke-7 hari ini meluluskan tiga kertas pertimbangan yang memberi fokus kepada penyertaan belia dalam hal ehwal demokrasi dan literasi politik, pemerkasaan peranan belia sebagai ejen perubahan dan pengukuhan data.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi JKPB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia merangkumi Program Kuasa Orang Muda (KOM) oleh IMPACT di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan meningkatkan kepedulian belia terhadap politik dan demokrasi.

“Sehubungan itu, Jelajah KOM akan dilaksanakan dengan penglibatan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia melalui penyertaan pelajar dan penyediaan kemudahan di institusi pendidikan dan latihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut diluluskan Program Generasi Sejahtera Malaysia (MyGENTERA) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Kementerian Pengangkutan bertujuan memperkasa belia sebagai pemimpin dan ejen perubahan dalam keselamatan jalan raya.

MyGENTERA akan dilaksanakan sebagai platform memperkasa belia dalam bidang keselamatan jalan raya dengan sokongan dan kerjasama semua kementerian melalui integrasi program, sumber dan platform sedia ada bagi memperluas impaknya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata pengumpulan data profil belia Not in Employment, Education or Training (NEET) dan inisiatif pembangunan bersepadu oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), KBS juga akan dilaksanakan bertujuan memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang inklusif.

“Sehubungan itu, pelaksanaan NEET secara bersepadu di peringkat nasional akan dilaksanakan dengan penglibatan kementerian, jabatan dan agensi dalam pengumpulan serta pengemaskinian data, dan peluasan peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan kepada belia NEET,” katanya.

Mesyuarat JKPB turut menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh pembentukan jati diri belia melalui penglibatan aktif menerusi inisiatif Kalendar Mega Rakan Muda dengan pendekatan “Satu Bulan, Satu Gaya Hidup”.

Antara tumpuan program yang akan dilaksanakan ialah Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Aktif, Rakan Litar dan Rakan Prihatin.

“Inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelantikan 90 Teraju Muda di setiap Parlimen yang berperanan sebagai pemudah cara pelaksanaan inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi.

“Saya yakin kita mampu memperkukuh agenda pembangunan belia secara menyeluruh, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berintegriti, berketerampilan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada kemajuan dan kesejahteraan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547546