DUNIA

Dua Maut, 11 Cedera Dalam Kebakaran Besar Di Pelabuhan Sungai Myanmar

21/04/2026 03:58 PM

ISTANBUL, 21 April (Bernama-Anadolu) – Sekurang-kurangnya dua maut manakala 11 lagi cedera dalam kebakaran besar yang berlaku di sebuah pelabuhan sungai di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Selasa.

Kebakaran tercetus pada petang Isnin di pelabuhan berhampiran sebuah biara di Perbandaran Homalin, sebelum merebak dengan pantas ke arah kapal-kapal dan kenderaan berhampiran, lapor media tempatan Mizzima.

Saksi berkata sekurang-kurangnya 22 bot bermotor dan dua kenderaan musnah apabila api yang marak menyelubungi kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa dan pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dengan mengerahkan beberapa jentera bomba bersama unit bomba tempatan.

Bagaimanapun, penduduk melaporkan bahawa api masih marak sehingga ke keesokan paginya.

Laporan awal menunjukkan kebakaran berkemungkinan berpunca semasa proses pengisian bahan api, manakala kuantiti bahan api yang banyak yang disimpan di dalam bot terlibat memburukkan lagi keadaan serta mencetuskan letupan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547553