JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Serkap Bongkar Sindiket Manipulasi Sistem Imigresen Beroperasi Hampir Dua Tahun

21/04/2026 06:59 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan satu lagi kegiatan pemalsuan data dan dokumen pekerja warga asing menerusi pelaksanaan Ops Serkap, hasil risikan serta pemantauan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan di dua premis kediaman di Selayang dan Desa Petaling itu membongkar taktik licik sindiket yang cuba memanipulasi sistem imigresen serta mencabar integriti pengurusan warga asing negara.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini melibatkan pengubahsuaian ke atas dokumen tulen JIM seperti ePASS dan mengeluarkan pelekat palsu untuk digunakan oleh pihak lain bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata sindiket itu juga menyediakan dokumen pendaftaran perkahwinan dan laporan perubatan bagi tujuan permohonan melibatkan JIM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Sindiket ini dipercayai beroperasi secara terancang selama hampir dua tahun bagi memudahkan kemasukan dan keberadaan warga asing secara tidak sah di negara ini,” katanya.

Zakaria berkata antara barangan dirampas dalam serbuan itu ialah 11 pasport pelbagai negara, i-Kad (15), masing-masing lima peranti digital dan telefon bimbit serta sebuah mesin pencetak.

Beliau berkata seorang wanita dan dua lelaki warga Sri Lanka berusia 35 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan selain satu saman kepada saksi (Borang 29) dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata individu ditahan ditempatkan di depot imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547715