AM

Weststar Defence Tawar Sistem Sky Dragon 100, Teknologi Republik Czech Untuk TUDM

21/04/2026 04:43 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Weststar Defence Industries Sdn Bhd (Weststar Defence) mengesahkan kesediaan untuk menyertai persaingan membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) bagi memenuhi keperluan strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arsad Abd Salam berkata syarikat itu menawarkan dua pilihan sistem berkeupayaan tinggi menerusi rakan kongsi antarabangsa.

Beliau berkata Weststar Defence bekerjasama dengan Norinco dari China untuk memperkenalkan sistem Sky Dragon 100 yang mampu menjangkau sasaran sejauh 100 kilometer manakala anak syarikat Weststar iaitu Global Komited Sdn Bhd membawa sistem dari Republik Czech yang mempunyai kapasiti serta keupayaan yang setara.

“Difahamkan keperluan TUDM buat masa ini adalah untuk melengkapkan dua bateri sistem berkenaan, merangkumi kelengkapan radar dan aset berkaitan,” katanya kepada Bernama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NatSec) Asia 2026 di sini hari ini.

Mengulas mengenai status perolehan itu, Arsad memaklumkan pihaknya telah menghantar maklumat teknikal serta harga komersial melalui permohonan maklumat (RFI) yang diminta oleh TUDM pada tahun lepas.

Meskipun TUDM belum memberikan maklum balas atau tindakan susulan setakat ini, beliau difahamkan projek berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Saya tidak boleh meramal bila tender akan dikeluarkan kerana itu adalah autoriti kerajaan, namun spekulasi saya ia boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan kelulusan MOF telah ada,” katanya sambil menambah bahawa perolehan tersebut dijangka dibuat melalui tender antarabangsa.

Perolehan sistem MERAD di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dilanjutkan ke RMK13 adalah kritikal untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udara berlapis negara.

Dalam pada itu, Arsad menegaskan peranan Weststar Defence sebagai pemain industri tempatan adalah kritikal dalam memastikan kelestarian aset pertahanan melalui program lokalisasi, offset dan pemindahan teknologi (ToT).

“Sekiranya syarikat bertindak sebagai kontraktor utama, mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan projek termasuk proses pemasangan serta sokongan teknikal dan penyelenggaraan masa hadapan,” katanya.

Selain sistem MERAD, Weststar Defence kini aktif bertindak sebagai rakan teknologi kepada syarikat pertahanan gergasi, Thales, bagi menyokong program lokalisasi di Malaysia.

Syarikat itu kini terlibat dalam projek pembekalan empat unit radar jarak jauh (LRR) jenis GM400 milik Thales untuk kegunaan di Bintulu (Sarawak), Bukit Lunchu (Johor), Gong Kedak (Terengganu) dan Pulau Layang-Layang (Sabah).

Menurut Arsad, penglibatan berkenaan selari dengan falsafah syarikat untuk memastikan kemampanan dengan peralatan darat, sistem telekomunikasi dan penjana kuasa disumberkan sepenuhnya daripada industri hiliran tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547604