KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempelawa syarikat Malaysia dan antarabangsa untuk meneroka peluang dalam pelbagai sektor di pavilionnya di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026).
Ketua Pengarah Pembangunan Industri Tawazun Council for Defence Enablement Shareef Hashim Al Hashmi berkata antara peluang yang ditawarkan ialah dalam sektor penyelidikan dan pembangunan, pembangunan bersama teknologi dan integrasi ke dalam rantaian bekalan rentas sempadan yang berdaya tahan.
Beliau berkata mereka menumpu kepada kerjasama praktikal yang menyediakan pembangunan keupayaan, pemindahan pengetahuan dan pertumbuhan perindustrian jangka panjang untuk semua pihak.
“Pavilion UAE menampilkan platform untuk kerjasama yang melangkaui pemerolehan tradisional. Ia menghimpunkan syarikat terkemuka yang mempamerkan keupayaan dalam pembuatan canggih.
“Antaranya dalam MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih), integrasi rantaian bekalan dan teknologi baharu seperti sistem autonomi dan keselamatan siber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shareef Hashim berkata Tawazun Council for Defence Enablement, sebuah entiti kerajaan bebas yang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertahanan dan agensi keselamatan di UAE, juga menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk turut meneroka peluang melalui saluran berstruktur.
Beliau berkata ini termasuk pendaftaran pembekal, menyertai dalam inisiatif pembangunan bersama dan program di bawah rangka kerja pembangunan perindustriannya.
“Sebagai sebahagian daripada tumpuan kami untuk memperkukuh inovasi dan mengupayakan syarikat pemula niaga, kami memperkenalkan Program Pengupayaan Keusahawanan.
"Inisiatif ini diwujudkan untuk menyokong pemula niaga dan PKS dengan meningkatkan kesediaan teknikal dan komersial mereka dan menyediakan peluang kepada mereka dalam ekosistem pertahanan, termasuk R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) dan projek yang diterajui industri," katanya.
Beliau berkata PKS dengan teknologi khusus, kepakaran pembuatan khusus atau penyelesaian inovatif boleh menyertainya selaras dengan penekanan Tawazun terhadap penyelarasan keupayaan dan daya saing.
Shareef Hashim berkata usaha sama dan perkongsian strategik merupakan elemen teras pendekatan Tawazun terhadap pembangunan perindustrian, menyokong model kolaboratif yang menggalakkan pembangunan bersama, pengeluaran bersama dan pelaburan bersama dalam keupayaan canggih, terutamanya dengan firma pertahanan Malaysia.
“Industri pertahanan Malaysia yang semakin berkembang dan kedudukan strategiknya di Asia Tenggara menjadikannya rakan negara yang kukuh dan saling melengkapi.
"Kami menumpu terutamanya pada perkongsian yang mengukuhkan keupayaan perindustrian, integrasi rantaian bekalan dan memudahkan pertukaran teknologi, sekali gus memberikan nilai jangka panjang yang mampan untuk kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata Malaysia merupakan rakan strategik yang penting di rantau Asia Pasifik, dengan asas perindustrian yang semakin berkembang, keupayaan teknikal yang kukuh dan tumpuan yang jelas terhadap pembangunan sektor pertahanan.
-- BERNAMA