DUNIA

Pakistan Sambut Baik Lanjutan Gencatan Senjata AS-Iran

22/04/2026 10:37 AM

WASHINGTON, 22 April (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Rabu merakamkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kerana menerima permintaan Islamabad untuk melanjutkan gencatan senjata dalam perang dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

“Secara peribadi saya dan bagi pihak Fil Marsyal Syed Asim Munir, saya dengan tulus mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump kerana sudi menerima permintaan kami untuk melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan usaha diplomatik yang sedang berjalan diteruskan,” kata Sharif di platform X.

Kenyataan beliau dibuat selepas Trump pada Selasa berkata Washington akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran bagi memberi masa kepada Tehran menyediakan “cadangan yang diselaraskan” susulan permintaan pegawai Pakistan.

Sharif berkata Pakistan akan terus berusaha bersungguh-sungguh ke arah penyelesaian konflik menerusi rundingan.

“Saya amat berharap kedua-dua pihak akan terus mematuhi gencatan senjata dan dapat memuktamadkan satu ‘Perjanjian Damai’ yang menyeluruh semasa pusingan kedua rundingan yang dijadual berlangsung di Islamabad bagi menamatkan konflik ini secara berkekalan,” kata beliau.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547885