KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Seorang pengurus jualan di sebuah syarikat pembekal barangan kesihatan ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan tuntutan pembekalan peralatan pembedahan berjumlah kira-kira RM54,000.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 8.30 malam Isnin lepas ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Raub.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2025 dan dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Kuala Lipis bagi pembekalan peralatan pembedahan,” katanya.
Lelaki itu kini direman tiga hari sehingga esok selepas Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali membenarkan permohonan daripada SPRM semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA