SUKAN

Kelantan Harap SUKMA Selangor 2026 Diteruskan Dalam Skala Kecil

22/04/2026 03:49 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan berharap penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dapat diteruskan seperti biasa meskipun dalam skala lebih kecil.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata penangguhan temasya itu dikhuatiri memberi kesan langsung terhadap prestasi serta moral atlet.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membuat persiapan hampir dua tahun sejak berakhirnya SUKMA 2024 di Sarawak, yang melibatkan komitmen besar dari segi masa, tenaga dan kewangan.

“Secara keseluruhan, kita berharap SUKMA diteruskan walaupun dalam skala lebih kecil, selaras dengan pandangan yang turut diutarakan Terengganu. Namun, kita tetap menjunjung titah Sultan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi SUKMA pada 9 April lepas turut membincangkan cadangan agar temasya itu diteruskan dengan pendekatan berskala.

Pada Isnin lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan susulan krisis bekalan global ketika ini dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari sebelum ini berkata temasya dwitahunan itu akan dilaksanakan pada skala lebih kecil bagi menjimatkan kos penganjuran tanpa mengurangkan jumlah acara yang dipertandingkan.

Beliau dilapor berkata langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA mengambil maklum mengenai krisis bekalan global dan kesannya terhadap ekonomi dunia yang turut dirasai di negara ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548028