AM

Kelantan Jalin Kerjasama Dengan LPNM Bangunkan Rantaian Nilai Industri Nanas

22/04/2026 03:32 PM

KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan sedang mempergiat langkah strategik dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk membangunkan rantaian nilai industri nanas merangkumi aspek pemprosesan, eksport, dan penjenamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata usaha itu bertujuan menjadikan industri berkenaan sebagai satu daripada kluster ekonomi utama di wilayah timur.

“Antara langkah utama yang diambil ialah memperkasakan konsep ‘satu kali tanam, tiga kali tuai’. Pendekatan ini membolehkan tanaman nanas bukan sahaja menghasilkan buah malah anak benih dan sisa tanaman yang boleh diproses menjadi produk bernilai tambah tinggi seperti makanan haiwan ternakan dan ikan.

“Ini sekali gus mengurangkan pembaziran dan meningkatkan nilai ekonomi industri secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tuan Mohd Almidi Jaafar (PAS-Bukit Bunga) mengenai langkah kerajaan negeri membangunkan rantaian nilai nanas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Tuan Mohd Saripudin menjelaskan, kerajaan juga sedang mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar menerusi pembangunan ladang nanas berskala besar bagi memastikan kapasiti pengeluaran yang konsisten.

“Usaha ini disokong dengan pewujudan rangkaian pembekal bagi memperkukuh potensi Kelantan sebagai negeri pengeluar dan pengeksport nanas. Dalam masa yang sama, pelaksanaan konsep ‘Satu Daerah Satu Industri’ turut diperkukuh bagi memacu pembangunan industri hiliran.

"Kita turut memperkasa usahawan tempatan melalui program pemprosesan dan inovasi produk, contohnya penghasilan bongkah cendawan dan makanan ruminan berasaskan sisa nanas. Promosi, pembangunan usahawan serta penglibatan belia melalui program seperti Program Agropreneur Muda juga dipergiatkan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi industri, beliau memaklumkan keluasan tanaman nanas di Kelantan menunjukkan peningkatan memberangsangkan hasil pelbagai bantuan seperti geran, program bimbingan, dan sistem penarafan pekebun.

“Data menunjukkan keluasan tanaman adalah 47.38 hektar pada 2023, 44.56 hektar (2024), dan melonjak kepada 88.13 hektar pada 2025.

“Berdasarkan perkembangan semasa dan permintaan yang tinggi, jangkaan keluasan tanaman baharu pada 2026 dianggarkan mencecah hingga 140 hektar,” katanya.

Tuan Mohd Saripudin turut menekankan bahawa nanas varieti MD2 menjadi keutamaan untuk dikembangkan di Kelantan kerana nilai komersialnya yang tinggi serta permintaan pasaran antarabangsa yang kukuh, yang menjanjikan pulangan ekonomi lebih baik kepada pengusaha.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547974