AM

RMK13, Belanjawan 2026 Perlu Diteliti Semula Susulan Konflik AS-Iran - Ahmad Zahid

23/04/2026 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026 perlu diteliti semula susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perancangan ekonomi negara perlu mengambil kira realiti baharu susulan ketidaktentuan global, yang tercetus ekoran konflik itu seterusnya telah memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga komoditi serta kos keseluruhan ekonomi.

“Sehubungan itu, RMK13 perlu dilihat semula. Bajet yang telah dibentangkan pada Oktober lalu juga perlu dianalisis semula, dan perancangan bagi Bajet 2027 perlu mengambil kira fakta-fakta baharu ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada BN Forum Siri 10: Kesan Konflik AS-Iran Ke Atas Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata konflik itu telah menjejaskan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang menjadi laluan penghantaran bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan kepada harga minyak global dan kos operasi.

“Dalam hal ini, Malaysia turut terkesan. Isu subsidi dan penetapan harga menjadi pertimbangan utama, selain itu peningkatan kos pengangkutan, harga minyak yang meningkat lebih awal, kos insurans serta kos pengagihan turut memberi tekanan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata justeru, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi membincangkan langkah jangka masa pendek dan sederhana.

Dalam perkembangan itu, beliau berkata Sarawak sebagai contoh negeri yang lebih awal menggunakan tenaga solar di samping memiliki sumber hidroelektrik.

“Tenaga ini bukan sahaja mencukupi untuk kegunaan sendiri, malah juga boleh dieksport ke Semenanjung dan negara jiran,” katanya.

Beliau berkata konflik AS-Iran telah mewujudkan beberapa pandangan dan pengajaran untuk perancangan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548225