Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 25 April (Bernama) -- Cuaca panas dengan suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius sepanjang musim haji tahun ini, berpotensi menguji ketahanan fizikal jemaah khususnya ketika kemuncak ibadah di Arafah.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata keadaan cuaca panas melampau itu, boleh meningkatkan risiko kesihatan seperti dehidrasi dan strok haba sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.
“Jemaah perlu bersedia menghadapi suhu tinggi dengan memastikan pengambilan air mencukupi serta mengehadkan aktiviti luar yang tidak perlu, ketika waktu puncak panas.
“Dalam keadaan suhu yang boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius, jemaah perlu lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Jemaah Haji Malaysia KT01 di Mekah bagi Musim Haji 1447/2026 pada Khamis.
Beliau turut mengingatkan jemaah supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom seperti pening, loya, keletihan melampau atau kekeliruan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Musim haji 2024 telah merekodkan antara suhu tertinggi dalam sejarah, dengan bacaan mencecah 51.2 darjah Celsius, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai tahap cuaca panas ekstrem yang dihadapi jemaah.
-- BERNAMA