AM

41 Kes Penyakit Berkaitan Cuaca Panas Direkod Setakat Ini - Dzulkefly

25/04/2026 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Sebanyak 41 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan setakat ini dengan majoriti melibatkan kes kelesuan haba, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 35 kes melibatkan kelesuan haba, diikuti tiga kes strok haba akibat aktiviti fizikal, dua kes strok haba dalam ruang tertutup manakala satu kes kekejangan haba.

“Bagaimanapun, setakat semalam (24 April), tiada kes baharu berkaitan cuaca panas dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Resipi “Mai Kurang” dan program Rewang Bersama Komuniti di Memorial Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata setakat 6 pagi tadi, sebanyak lima negeri merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga melibatkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai), Perak (Kuala Kangsar dan Hulu Perak) serta Jerantut di Pahang.

Selain itu, beliau berkata satu daerah di Kelantan iaitu Machang merekodkan cuaca panas Tahap 2 atau gelombang haba.

Dalam pada itu, Dzulkefly menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian susulan krisis bekalan global. 

Beliau berkata langkah itu selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan tatakelola kewangan berhemat, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.

“Langkah segera perlu dipertimbangkan bagi memastikan Malaysia tidak berdepan situasi catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain,” katanya.

Semalam, Anwar berkata kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global termasuk mempertimbangkan untuk mengehadkan pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian.

Perdana Menteri berkata tindakan segera itu perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam situasi catuan tenaga seperti yang sedang dihadapi beberapa negara lain dan keputusan muktamad mengenainya akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549221