GAYA HIDUP

Wanita Orang Asli Semelai Pertahan Legasi Produk Kraf Anyaman Keluarga

26/04/2026 12:10 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 26 April (Bernama) -- Di sebalik peluang kerjaya luas berbekalkan kelayakan akademiknya, seorang wanita Orang Asli suku Semelai memilih untuk pulang ke pangkuan komuniti, demi memastikan seni anyaman warisan terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Rekod Universiti Teknologi MARA (UiTM) Noorzareena Norya, 35, berkata minat yang mendalam terhadap seni anyaman serta rasa tanggungjawab untuk memelihara warisan budaya mendorong beliau untuk meneruskan legasi keluarganya itu.

“Bermula daripada bapa yang memulakan seni anyaman ini secara kecil-kecilan, kemudian mengusahakannya dengan lebih serius sehingga menjadi sumber pendapatan keluarga dan kini saya mengambil alihnya.

pic-2

“Bagi saya, usaha ini bukan sekadar meneruskan legasi keluarga, tetapi juga satu tanggungjawab untuk memastikan seni warisan anyaman yang sememangnya sinonim dengan Orang Asli Semelai ini terus kekal dan dikenali, khususnya oleh generasi muda," katanya ketika ditemui Bernama pada Festival Kraf Pantai Timur (FKPT) 2026 di sini semalam.

Selepas menamatkan pengajian, Noorzareena mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan kini sudah tujuh tahun mengusahakan perniagaan anyaman secara sepenuh masa. 

Anak jati Pos Iskandar, Bera itu berkata keunikan produk kraf yang dihasilkan bermula daripada proses penanaman pokok mengkuang, sebelum melalui peringkat pemprosesan dan dianyam untuk menjadikannya pelbagai barangan antaranya tikar, beg duit syiling, sarung buku, selain perhiasan seperti cekak rambut, magnet peti sejuk dan rantai kunci.

“Pokok mengkuang yang kami tanam sendiri di sekitar kawasan kampung mengambil masa sekitar dua tahun, sebelum daunnya boleh digunakan untuk proses anyaman.

pic-3

“Sebelum dianyam, daun mengkuang perlu melalui beberapa proses seperti membuang duri, melurut, merebus, merendam, menjemur dan mewarnakannya,” katanya yang juga memiliki Diploma dalam bidang Pengurusan Maklumat daripada universiti sama.

Noorzareena berkata tempoh menghasilkan produk bergantung kepada jenis dan corak, dengan anyaman tikar mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan.

“Kraf tangan dihasilkan dipasarkan pada harga bermula serendah RM10 hingga ratusan ringgit dengan tikar mengkuang menjadi antara produk yang paling mahal dijual” katanya.

pic-4

 

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata buat masa ini, beliau yang mengusahakan perniagaan itu dengan jenama Semelai Heritage Tasek Bera dibantu oleh pekerja Orang Asli yang terlibat dalam proses anyaman. 

“Adakalanya saya tidak menang tangan untuk buat semua sendiri, kerana perlu menguruskan bengkel anyaman dan galeri jualan, jadi terpaksa ada pekerja yang selesaikan bahagian anyaman iaitu tiga orang secara sepenuh masa dan selebihnya akan bantu ketika pengeluaran meningkat,” katanya.

pic-5

Beliau berkata kerja anyaman bukan sahaja melibatkan golongan veteran, malah kini turut disertai oleh generasi muda yang melakukannya sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Kebanyakan penduduk di Pos Iskandar menoreh getah, jadi pada waktu malam tidak ada apa nak buat mereka ambil upah menganyam daun mengkuang yang saya sediakan,” katanya.

Wanita itu turut berpendapat kesedaran terhadap nilai komersial dan kepentingan warisan budaya telah meningkatkan minat generasi muda terhadap kemahiran berkenaan, yang bukan sahaja membantu menambah pendapatan malah turut memastikan seni anyaman terus dipelihara. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549515