SUKAN

TSG Sasar Dua Podium Dan Tiga Pasukan Terbaik Jelajah Bostonliq Di Uzbekistan

27/04/2026 06:53 PM

KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Pasukan berbasikal bertaraf dunia Terengganu Cycling Team (TSG) meletakkan sasaran untuk menaiki podium sebanyak dua kali dan muncul antara tiga pasukan terbaik keseluruhan pada Jelajah Bostonliq di Uzbekistan bermula esok.

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata enam pelumba termasuk tiga import dan tiga tempatan akan membawa cabaran pada perlumbaan bertaraf 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kali ini.

“Pelumba terlibat ialah Adne Van Engelen, James Gardner, Juan Pedro Lozano Navarro, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim, Muhammad Haizam Mohd Shabri dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

“Pelumba akan melalui dua peringkat perlumbaan di laluan berbukit sejauh 303.8 kilometer secara keseluruhan pada 27 dan 28 April ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nasiruddin berkata TSG yang berpangkalan di Kuala Terengganu ketika ini berada di tangga keempat pasukan terbaik Asia dan benua selepas mengutip 695 mata daripada 10 siri perlumbaan UCI.

Beliau berkata dengan baki lebih 20 perlumbaan, TSG yakin mampu merampas kembali gelaran juara Asia yang pernah dimenangi selama empat tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2024, sebelum musim 2026 melabuhkan tirainya pada Oktober depan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2550006