BEIRUT, 28 April (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem pada Isnin mengulangi "penolakan mutlak" beliau terhadap rundingan terus antara Lubnan dan Israel, selain menggariskan lima perkara utama bagi menyelesaikan konflik semasa, lapor Anadolu Ajansi.
Qassem dalam satu kenyataan berkata kumpulannya "menolak sekeras-kerasnya" sebarang rundingan terus dengan Israel, sambil menegaskan bahawa Hizbullah akan meneruskan "penentangan defensif" dan tidak akan menyerahkan senjatanya.
Beliau turut mengkritik pelaksanaan dua pusingan rundingan terus antara Lubnan dan Israel di Washington beberapa hari lepas di bawah tajaan Amerika Syarikat (AS), yang merupakan rundingan seumpamanya buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun.
"Dalam suasana pengorbanan, maruah, dan kekalahan musuh ini, pihak berkuasa (Lubnan) tergesa-gesa memberikan konsesi percuma yang memalukan dan tidak perlu, di mana satu-satunya alasan adalah tunduk kepada tekanan," dakwa Qassem.
"Titik permulaan dan penyelesaian adalah untuk mencapai lima perkara sebelum perkara lain dipertimbangkan," beliau berhujah.
Beliau menyenaraikan lima perkara berkenaan sebagai "menghentikan pencerobohan di darat, laut dan udara; pengunduran Israel dari wilayah yang diduduki; pembebasan tahanan; kepulangan penduduk ke semua kampung dan bandar mereka; serta pembinaan semula."
"Pihak berkuasa ini tidak boleh diteruskan sekiranya ia melepaskan hak Lubnan, menyerahkan tanah dan menentang rakyatnya yang sedang berjuang," katanya.
Ketua Hizbullah itu turut menyeru pihak berkuasa Lubnan supaya "kembali kepada rakyat untuk menyatukan mereka, supaya mereka bukan menjadi pihak berkuasa bagi satu puak tetapi untuk seluruh rakyat, berdasarkan konsensus Perjanjian Taif yang menjadi asas perlembagaan semasa kami."
Menurut angka rasmi Lubnan, lebih 2,500 orang terbunuh dan lebih 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal akibat serangan Israel di seluruh negara itu sejak 2 Mac lepas.
Gencatan senjata selama 10 hari telah diisytiharkan antara Lubnan dan Israel pada 17 April, walaupun Tel Aviv dilaporkan berulang kali melanggar perjanjian itu.
Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump berkata Lubnan dan Israel bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata selama tiga minggu susulan pusingan kedua rundingan antara kedua-dua pihak di Washington.
Hizbullah telah melancarkan siri serangan dron yang menyasarkan tentera Israel di selatan Lubnan dan utara Israel, atas alasan pelanggaran gencatan senjata yang berulang kali dilakukan oleh pihak Israel.
-- BERNAMA-ANADOLU