Apabila umum membincangkan pekerjaan dalam sektor pembinaan, yang terlintas di fikiran ialah buruh kasar, iaitu individu bertopi keselamatan - lazimnya berwarna kuning - dan berkasut but getah yang bekerja di bawah pancaran terik matahari.
Berdasarkan tanggapan itu, polemik berfokus pada warga asing dan bagaimana mereka mendominasi industri pembinaan negara, sementara warga tempatan, lebih-lebih lagi golongan muda, menjauhkan diri daripada pekerjaan ini yang dikategorikan sebagai 3D - berbahaya, kotor dan sukar.
Benarkah begitu?
Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menyanggah tanggapan tersebut yang disifatkan mereka sebagai kurang tepat.
“Apabila orang melihat tapak bina, mereka hanya nampak buruh asing dan menganggap belia tempatan tiada. Hakikatnya, industri pembinaan tidak boleh dilihat sebagai satu entiti yang seragam. Orang muda kita sudahpun berada di pelbagai peringkat, terutama dalam bidang seperti pengurusan projek, penggunaan dron dan penyelarasan BIM,” jelas Setiausaha Agungnya Datuk Astaman Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.
MINAT PADA KEMAHIRAN TINGGI
Mengulas lanjut, beliau berkata MBAM melihat isu sebenar terletak pada bidang dalam sektor pembinaan, dengan golongan muda khususnya generasi Z (Gen Z), lebih bertumpu pada teknologi.
“Mereka bukan tidak berminat dengan pembinaan, tetapi lebih tertarik pada bahagian kemahiran tinggi yang memberi kelebihan dari segi pengaplikasian teknologi digital,” katanya.
Astaman berkata bagaimanapun pada masa ini sistem pendidikan dan latihan negara, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), masih tidak mampu menyaingi keperluan sebenar industri, sekali gus mengecilkan ruang untuk penglibatan generasi muda dalam sektor pembinaan.
“Kami mendapati setakat ini pelajar masih dilatih menggunakan peralatan berteknologi lama, sedangkan industri telah lama bergerak ke arah kecerdasan buatan (AI), dron dan BIM (Pemodelan Maklumat Bangunan). Ini menyebabkan mereka tidak ‘tech-ready’.
“Oleh itu, untuk menjadikan TVET benar-benar berguna, kurikulum sedia ada mesti bergerak seiring dengan penggunaan teknologi industri. Kita bukan sekadar perlukan pekerja, kita perlukan pakar teknologi yang mampu mengendalikan mesin dan peralatan digital terkini untuk memastikan apabila mereka tamat pengajian, mereka bukan sekadar 'sedia untuk ke tapak,' tetapi 'sedia menggembleng teknologi’,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata MBAM ingin menekankan keperluan untuk pihak berwajib mengubah naratif industri pembinaan agar lebih mencerminkan realiti semasa sebagai sektor berasaskan teknologi dan inovasi.
“Langkah terbaik adalah dengan mengubah persepsi 'papan hitam' terhadap pembinaan. Industri pembinaan mesti menunjukkan kepada Gen Z bahawa mereka bukan sekadar berada di tapak bina, tetapi mereka mampu menjadi sebahagian daripada ekosistem teknologi yang moden.
“Kita juga perlu menonjolkan rantaian aktiviti bernilai tinggi, contohnya tinjauan projek secara digital dan pengesanan projek berpacuan AI. Dengan menjenamakan semula bidang ini sebagai kerjaya profesional berpusatkan teknologi, barulah kita dapat memenuhi keinginan mereka untuk terus memacu inovasi dan fleksibiliti,” tegasnya.
GAJI TIDAK SETIMPAL?
Sebagai antara pemacu utama ekonomi negara, sektor pembinaan negara terus mencatatkan pertumbuhan kukuh tahun demi tahun. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor itu berkembang sebanyak 12.5 peratus dengan nilai kerja diunjur mencecah RM178.6 bilion pada tahun lepas berbanding RM158.8 bilion pada 2024 dan RM132.1 bilion pada 2023.
Sehubungan dengan itu, sektor ini kekal menawarkan peluang pekerjaan yang luas di pelbagai peringkat. Namun, dominasi tenaga kerja asing bagaikan sukar dirobohkan dengan pelbagai faktor dikatakan menyumbang kepada situasi tersebut, termasuk gaji tidak setimpal.
Mengulas perkara itu, Astaman berkata struktur ekonomi industri pembinaan buat masa ini tidak membenarkan peningkatan gaji buruh secara drastik tanpa memberi kesan kepada kos keseluruhan projek.
“Sebagai contohnya, jika kita membayar gaji tinggi untuk buruh di tapak pembinaan bagi menarik minat anak tempatan, akhirnya kita juga terpaksa menaikkan gaji jurutera dan profesional untuk mengekalkan skala tersebut, jadi perkara ini dilihat kurang praktikal dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya.
JURANG PENDEDAHAN, CABARAN MINAT
Sementara itu, Institut Jurutera Malaysia (IEM) melihat penyertaan rendah generasi muda, khususnya Gen Z, dalam industri pembinaan disebabkan oleh gabungan beberapa faktor seperti pendedahan awal, kefahaman terhadap peranan sektor tersebut serta persepsi kerjaya yang terbentuk sejak di peringkat sekolah.
IEM berpandangan kekurangan contoh atau mentor dalam bidang sains dan teknologi di peringkat awal pendidikan antara yang memberi kesan kepada minat pelajar terhadap bidang kejuruteraan dan pembinaan.
“Kurangnya pemahaman tentang kepentingan pembangunan ekonomi negara yang berkait rapat dengan industri kejuruteraan, khususnya industri pembinaan, turut menyumbang kepada situasi ini,” kata IEM menerusi jawapan bertulis kepada Bernama.
Selain itu, pemilihan kerjaya dalam kalangan Gen Z juga dipengaruhi oleh tarikan kepada bentuk pekerjaan baharu yang dilihat lebih cepat menjana pendapatan, termasuk ekonomi digital dan platform perniagaan dalam talian yang dikenali sebagai quick money economy.
Bagi membantu pihak berkepentingan meningkatkan pendedahan pelajar kepada potensi kerjaya dalam sektor pembinaan, IEM bersedia menawarkan khidmat profesional seperti penceramah, jurulatih serta panel penasihat industri di institusi pengajian tinggi (IPT) demi membantu pelajar memahami aplikasi sebenar bidang kejuruteraan serta memastikan kandungan pengajaran lebih selari dengan keperluan industri.
IEM berpandangan wujud ruang penambahbaikan dalam memperkukuh pendedahan industri kepada pelajar dan tenaga pengajar, antaranya menempatkan sementara pensyarah di syarikat pembinaan serta peluasan latihan industri pelajar di tapak projek.
Langkah ini, menurut IEM, penting bagi memastikan lepasan IPT memperoleh pengalaman sebenar dan tidak hanya bergantung pada pembelajaran teori di dalam kelas.
CABARAN MENYERAP GRADUAN KE PASARAN KERJA
Bekas Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan STEM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Sattar Rasul melihat isu penyertaan belia dalam industri pembinaan bukan hanya tentang minat, sebaliknya berkait dengan faktor struktur termasuk pendidikan, penyelarasan industri-institusi serta penyerapan tenaga kerja.
Merujuk TVET, beliau berkata pelajar masih kurang mendapat pendedahan yang mencerminkan keperluan sebenar industri, sedangkan teknologi yang digunakan kini jauh lebih maju.
Menurut beliau, keadaan ini turut memberi kesan kepada tahap keyakinan dan kesiapsiagaan pelajar untuk memasuki pasaran kerja, selain mewujudkan jurang antara kemahiran graduan dan keperluan industri.
“Malah, tanpa kerjasama rapat industri dan institusi, peluang pekerjaan sukar diperoleh oleh graduan baharu,” katanya.
Mengambil contoh pendekatan “industry in campus” di China, beliau berkata di negara itu pelajar didedahkan secara langsung kepada amalan industri melalui kerjasama institusi pendidikan dan sektor pembinaan.
“Apabila pelajar jelas dengan laluan kerjaya dan aplikasi sebenar kemahiran, persepsi terhadap kerja 3D tidak lagi menjadi penghalang,” jelasnya yang kini berkhidmat sebagai pensyarah jemputan dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta TVET di Jiangsu Second Normal University, Nanjing, China.
Dalam konteks tempatan, beliau berpandangan penyelarasan antara kurikulum, latihan dan perkembangan industri perlu diperkukuh, termasuk memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa.
“Oleh itu, upskilling dan reskilling tenaga pengajar amat penting,” cadangnya.
Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama industri-institusi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, selain mencadangkan kerajaan menimbang dasar lebih tersusun termasuk keutamaan kuota pengambilan siswazah tempatan dalam projek tertentu bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pasaran kerja.
KEYAKINAN RENDAH, BUKAN ISU GAJI SEMATA-MATA
Mohamad Sattar turut menegaskan gaji dalam sektor pembinaan adalah berdasarkan kemahiran, justeru tidak timbul isu gaji rendah sebagai punca generasi muda menjauhi sektor tersebut.
“Gaji minimum yang biasanya dibincangkan di peringkat awam merujuk tenaga buruh kasar. Realitinya, bagi mereka yang mempunyai sijil atau diploma dalam bidang pembinaan, gaji yang ditawarkan sudah cukup setimpal dengan kemahiran mereka,” katanya.
Menurutnya, seorang pekerja binaan yang mahir mampu memperoleh hingga lebih RM4,000 sebulan, namun yang menjadi isu ialah tahap keyakinan lepasan IPT untuk memasuki industri.
“Ramai tidak berani memasuki industri kerana berasakan diri mereka belum cukup bersedia akibat latihan yang belum sepenuhnya menekankan kemahiran praktikal,” jelasnya.
Aspek adaptasi kerjaya dalam kalangan pelajar juga perlu diperkukuh bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja.
“Oleh itu, majikan dalam industri pembinaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam pendidikan TVET serta memastikan keterjaminan pekerjaan bagi lulusan TVET,” katanya, menambah tanpa intervensi bersepadu sebegini akan membuatkan cabaran kekurangan tenaga kerja tempatan dalam industri pembinaan terus berlanjutan dan memberi implikasi terhadap daya tahan ekonomi negara.