JOHOR BAHRU, 30 April (Bernama) -- Kontinjen Johor berhasrat untuk kembali merangkul gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata semua persatuan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah membuat persiapan rapi.
Beliau berkata Johor bakal menjadi satu daripada kontinjen terbesar dengan penyertaan kira-kira 800 atlet dan pegawai bagi menggalas misi membawa pulang pingat emas disasarkan.
“Untuk tahun ini, kita berusaha untuk berada dalam kelompok tiga terbaik dan sememangnya Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta seluruh kepimpinan mengharapkan ada kejutan untuk membawa pulang piala SUKMA ke Johor, insya-Allah.
“Johor pernah muncul juara keseluruhan pada temasya 2022 selepas meraih 77 pingat emas dan kita bertekad untuk mengulangi kejayaan tersebut,” katanya.
“Dari segi persiapan atlet, boleh dikatakan kita sudah hampir ke fasa akhir. Pastinya kita sudah bersiap siaga untuk memastikan kontinjen Johor muncul sebagai kontinjen terbaik pada SUKMA 2026 di Selangor,” katanya pada sidang media dan pelancaran Pasukan Johor Piala Agong 2026 edisi ke-42 di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata kerajaan Johor menyambut baik titah perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya penganjuran SUKMA edisi ke-22 diteruskan secara berhemat.
Beliau berkata kerajaan negeri telah bersedia apabila Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM7.5 juta bagi persiapan SUKMA 2026 pada pembentangan Belanjawan tahun lepas.
“Dari segi penginapan dan sebagainya, kita menunggu keputusan mesyuarat esok oleh Menteri Belia dan Sukan bersama Exco-Exco sukan dari seluruh negara mengenai kesiapsiagaan tuan rumah dan sebagainya.
“Insya-Allah pada Isnin ini, akan ada pengumuman khas daripada Menteri Besar Johor buat atlet, jurulatih dan juga staf sokongan untuk SUKMA 2026. Mungkin ada insentif sebagai suntikan semangat untuk menuai pingat,” katanya.
SUKMA 2026 mendapat perkenan Sultan Sharafuddin penganjurannya diteruskan dengan pendekatan lebih berhemat dan berlandaskan penjimatan kos.
Perkenan itu diperoleh selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lepas bagi membincangkan kedudukan temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan.
-- BERNAMA