LABUAN, May 3 (Bernama) -- Wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Azlan Ibrahim muncul juara perseorangan lelaki Cabaran Kayak Antarabangsa Labuan selepas menamatkan saingan sejauh 51.2 kilometer (km) dengan catatan masa 5 jam 49 minit 15 saat.
Cabaran itu, yang merupakan antara acara utama Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2026 dan diiktiraf sebagai perlumbaan maraton kayak paling jauh di Malaysia yang diselesaikan dalam tempoh sehari, telah menarik 104 peserta termasuk 24 peserta dari China, Singapura, Perancis dan Brunei.
Mohd Faizal Mohamed Kamil dari Persatuan Kanu Kuala Lumpur menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 6:14:30s manakala rakan sepasukannya Mohd Khirulniza Salleh berada di tempat ketiga selepas merekodkan 6:25:44s
Acara berpasangan pula menyaksikan gandingan bapa dan anak Dullah Besar dan Danish Dullah dari Sipitang, Sabah mengungguli selepas melengkapkan perlumbaan dengan 5:52:25s.
Pasangan dari Persatuan Kanu Putrajaya Mohd Harizul Iman Mas Irham-Ahmad Syafiq Iqram Ahmad Suhaimi di tempat kedua dengan 5:5:47s manakala tempat ketiga dimenangi Nik Afiq Nik Mazli-Muhammad Adib Kamaruzrizan dari Purjaya dengan 5:58.00s.
Kategori campuran pula dimenangi Freddy Anggang-Lee Shu Na mewakili PDRM Sipitang/Labuan kayak dengan 5:58:47s.
Pasangan dari Labuan Jiana Tosawi-Nedsfar Sukarno di tempat kedua dengan 6:11:59s manakala ketiga milik rakan sepasukan Alya Farzana Mohd Ali-Mohd Danial Firdaus Mohamad selepas merekodkan 6:25:25s.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata penyertaan menggalakkan daripada atlet tempatan dan antarabangsa mencerminkan pengiktirafan semakin meningkat terhadap cabaran itu sebagai antara acara sukan marin ikonik Labuan.
Beliau berkata perlumbaan sejauh 51.2 kilometer itu menguji ketahanan, kekuatan fizikal serta daya tahan mental peserta, di samping mengetengahkan aset semula jadi pesisir pantai Labuan dan potensinya untuk menjadi tuan rumah lebih banyak acara sukan di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Cabaran Kayak Antarabangsa Labuan bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform untuk mempromosikan Labuan sebagai destinasi pulau yang mempunyai potensi besar dalam pelancongan sukan marin.
“Penyertaan atlet kayak daripada pelbagai pasukan, negeri dan negara luar menunjukkan Labuan terus menjadi tarikan kepada komuniti sukan, khususnya yang terlibat dalam acara ketahanan dan berasaskan laut,” katanya kepada Bernama selepas acara itu.
Rithuan berkata LC akan terus menyokong penganjuran acara yang mampu menjana limpahan ekonomi kepada pulau itu, khususnya kepada pengusaha pelancongan tempatan, peniaga makanan, penyedia penginapan serta perniagaan berkaitan.
-- BERNAMA