AM

Pulau Pinang Sasar Tarik 20 Acara Antarabangsa Dipindahkan Ekoran Krisis Asia Barat - PCEB

05/05/2026 05:02 PM

GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang bersedia menerima manfaat daripada limpahan acara antarabangsa yang dipindahkan dari Asia Barat ekoran krisis yang berlarutan di rantau itu, kata ketua pegawai eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), G.Ashwin.

Beliau berkata setakat ini lebih 20 acara telah disenarai pendek untuk Pulau Pinang, dengan jumlah itu dijangka meningkat memandangkan proses bidaan masih berlangsung.

“Terdapat prosedur khusus untuk penempatan semula termasuk mengenal pasti pakar bidang dan hos tempatan di Pulau Pinang untuk mengendalikan acara sebelum kami dapat membantu pemindahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara PCEB dan Marriott International Malaysia, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyaksikan majlis permeteraian perjanjian tersebut yang disempurnakan oleh Ashwin dan Pengerusi Majlis Perniagaan Marriot Malaysia, Wilayah Utara dan Marriot Charity Golf Tournament Datuk Gulab Mahatam Rai, untuk bersama-sama mempromosikan Penang Golf Challenge sebagai platform perniagaan dan perangkaian tahunan.

Ashwin berkata banyak acara yang pada asalnya dijadualkan diadakan di Asia Barat kini dipindahkan ke rantau Asia Pasifik, menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi tuan rumah yang strategik dan menarik.

Katanya, acara yang telah disenaraipendekkan itu kebanyakannya melibatkan sektor seperti institusi kewangan, pengurusan dan bidang perubatan yang dijangka menarik lebih daripada 1,000 peserta.

Ashwin berkata senarai itu hanya akan dimuktamadkan dan diumumkan secara rasmi sebaik sahaja proses formalisasi selesai dan menambah sebahagian daripada acara ini bukan sahaja untuk 2026, tetapi juga berterusan hingga ke tahun-tahun yang akan datang.  

"Kalendar acara Pulau Pinang telahpun memperoleh penganjuran acara hingga ke 2032, mencerminkan perancangan jangka panjang negeri dalam menarik persidangan dan acara antarabangsa," katanya.

Majlis permeteraian MoU itu menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan, penglibatan korporat dan rangkaian industri.

Acara Penang Golf Challenge dijangka berkembang menjadi inisiatif utama tahunan yang bukan sahaja dapat meningkatkan peluang rangkaian perniagaan tetapi juga meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi dinamik untuk acara perniagaan dan  korporat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang menyasarkan peningkatan jumlah penganjuran acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dengan lebih 3,000 acara sepanjang tahun ini yang dianggarkan menjana impak ekonomi lebih RM2 bilion.

Beliau berkata Pulau Pinang telah merekodkan lebih 3,000 acara perniagaan termasuk di hotel dan pusat konvensyen utama dengan jumlah impak ekonomi mencecah RM1.9 bilion sepanjang tahun lepas.

"Strategi Pulau Pinang kini memberi tumpuan bukan sahaja kepada pelancong individu tetapi juga kepada segmen MICE yang dilihat mampu merangsang ekonomi tempatan secara signifikan.

"Kita mempunyai beberapa pusat konvesyen yang mempunyai kelebihan menganjurkan program MICE seperti SPICE di Bayan Baru, Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di George Town dan Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, selain hotel dengan dewan jamuan serta ruang pameran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Marriott International dan Bertam Resort, di sini hari ini.

Wong juga berkata konflik di Asia Barat turut membuka peluang kepada Pulau Pinang untuk menarik penganjuran persidangan antarabangsa yang sebelum ini dijadualkan di rantau berkenaan berikutan pembatalan acara di destinasi seperti Dubai dan Qatar yang mendorong penganjur mencari lokasi alternatif.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553017