Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) mempergiat usaha menyelamatkan warisan tekstil tradisional negara yang semakin terancam menerusi penganjuran The Textile Project Soirée, iaitu acara kemuncak inisiatif pemuliharaan seni kraf tempatan.
Program yang berlangsung sejak 2024 itu memberi tumpuan kepada dua warisan kritikal, iaitu songket Kelantan dan sulaman kelingkan yang sebelum ini dilaporkan hanya disokong oleh segelintir penggiat aktif, sekali gus menimbulkan kebimbangan akan kelangsungan seni berkenaan.
Presiden MCC Nik Faiz Nik Amin berkata keadaan itu menjadi pencetus pelaksanaan program berstruktur bagi memastikan warisan berkenaan terus dipelihara dan tidak pupus ditelan zaman.
pic-2
“The Textile Project bukan sekadar pemeliharaan warisan negara kerana ia adalah tentang maruah, pemerkasaan dan peluang.
“Ramai artisan kami terdiri daripada komuniti B40 dan ibu tunggal, dan melalui inisiatif ini, warisan menjadi sumber pendapatan serta laluan ke arah masa depan yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Nik Faiz berkata melalui pendekatan latihan berasaskan model master–apprentice, MCC berjaya melahirkan generasi baharu artisan dengan melatih 20 penenun songket dan 20 penyulam kelingkan, sekali gus memperkukuh kesinambungan warisan bernilai tinggi itu.
pic-3
Katanya inisiatif itu turut diperluas melalui kerjasama dengan Penjara Pengkalan Chepa di Kelantan yang membuka peluang kepada 40 banduan mempelajari kemahiran tenunan dan sulaman sebagai sebahagian daripada proses pemulihan diri serta pembangunan kemahiran.
Beliau berkata MCC kini membangunkan ekosistem mampan yang membolehkan artisan berkembang daripada pelatih kepada usahawan serta pemain dalam industri kreatif.
pic-4
“Kami percaya bahawa warisan perlu hidup dalam komuniti. The Textile Project bukanlah sekadar program latihan, tetapi model perintis ekosistem perniagaan yang mampan, iaitu artisan boleh berkembang daripada pelatih kepada usahawan, dan daripada penghasil kepada pemain pasaran,” katanya.
Beliau berkata melalui cabang perniagaan MCC, Ruzzgahara, artisan diberikan platform untuk memasar serta mengangkat hasil karya mereka dalam ekonomi kreatif, sekali gus memastikan karya berkenaan bukan sahaja dipelihara, malah mempunyai nilai komersial yang berdaya tahan.
-- BERNAMA