JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Rempuh Pasangan Suami Isteri Direman Seminggu

05/05/2026 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang, Sabtu lepas direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata perintah reman itu yang bermula hari ini dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Lumpur, Nur Atikah Zakaria.

Beliau berkata suspek lelaki berusia 24 tahun itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan telah dibenarkan pulang pada 5 petang semalam.

"Lelaki itu kemudiannya hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee pada 8.30 malam untuk memberi keterangan sebelum ditangkap dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya.

Dalam kejadian pada 5.34 pagi Sabtu lepas, pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 dan 56 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal jenis Honda Wave Alpha yang dinaiki dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Polis turut menjalankan ujian toksikologi terhadap sampel darah dan air kencing suspek bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah semasa kejadian, namun masih menunggu keputusan makmal.

Kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553044