Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Taiwan menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia membabitkan sektor semikonduktor dan pengeluaran pintar, terutama dalam segmen pusat data dan robotik.
Usaha itu disasarkan dengan memanfaatkan kekuatan yang saling menjadi pelengkap kedua-dua ekonomi selain merentasi rantaian nilai semikonduktor.
Kerjasama itu didorong oleh kelebihan berkenaan dalam rantaian nilai semikonduktor dengan kepakaran Taiwan dalam reka bentuk dan fabrikasi cip manakala Malaysia berperanan penting dalam bidang pembungkusan serta pengujian.
Pengarah Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Chang berkata Taiwan misalnya kekal sebagai peneraju global dalam aspek reka bentuk dan fabrikasi semikonduktor manakala Malaysia pula dalam pembungkusan dan pengujian berkaitan.
“Taiwan amat kukuh dalam aspek reka bentuk litar bersepadu (IC) dan fabrikasi cip. Kami di tempat pertama dalam fabrikasi dengan syarikat seperti Taiwan Semiconductor Manufacturing Company Ltd (TSMC) manakala Malaysia kini di kedudukan keempat dunia dalam pembungkusan dan pengujian,” katanya dalam temu bual dengan Bernama pada Selasa.
Beliau berkata demikian di luar acara SEMICON Southeast Asia 2026 yang berlangsung pada 5-7 Mei di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Pada masa sama, Chang menyifatkan kelebihan Taiwan dan Malaysia yang saling melengkapi itu turut membuka peluang besar, khususnya dalam segmen baharu seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan cip berprestasi tinggi serta cip tradisional.
“Unit pemprosesan grafik berprestasi tinggi (GPU) yang kebanyakannya dihasilkan di Taiwan, memang digunakan di pusat-pusat data. Namun, robotik turut memerlukan sensor dan pengawalan yang menyaksikan Malaysia berpotensi besar untuk menyertainya,” katanya.
Chang berkata usaha pempelbagaian rantaian nilai global yang sedang dijalankan, termasuk strategi “Taiwan Plus One” yang mendorong lebih banyak firma Taiwan mengusahakan pengembangan masing-masing ke Malaysia.
Kalangan pelabur Taiwan, katanya, lazimnya menitikberatkan aspek penyetempatan, termasuk bekerjasama dengan pembekal tempatan dan pemindahan teknologi, tidak seperti model tradisional yang banyak bergantung kepada kepakaran import.
“Dalam jangka panjang, kami mahu sama-sama mencatat pertumbuhan dengan Malaysia dan bukan setakat memanfaatkan sumber,” katanya.
Mengulas ledakan pusat data di Malaysia, Chang berkata syarikat-syarikat Taiwan turut menyumbang menerusi pembangunan pengeluaran dan ekosistem server atau pelayan.
Beliau turut merujuk sebuah firma Taiwan yang beroperasi di Johor yang terbabit dalam pengeluaran pelayan bagi pasaran serantau dan global serta aktif membangunkan rangkaian penbekal tempatan bagi menyokong ekosistem berkenaan.
“Ini membantu syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan lagi keupayaan teknologi masing-masing ketika menyepadu dalam rantaian bekalan,” katanya.
Chang bagaimanapun mengetengahkan beberapa cabaran yang perlu ditangani dalam usaha mengekalkan pertumbuhan, terutama dari segi mobiliti bakat dan penyelarasan dasar.
“Usaha menarik pelaburan berteknologi tinggi memelukan keupayaan untuk membawa masuk jurutera asing yang berpengalaman bagi melatih bakat tempatan, sekurang-kurangnya di peringkat awal. Ini memerlukan penyelarasan antara pelbagai agensi, termasuk sumber manusia, imigresen dan pihak berkuasa pelaburan,” katanya.
Sehubungan itu, Chang mencadangkan agar perjanjian pelaburan dua hala membabitkan Taiwan dan Malaysia sedia ada yang dimeterai pada 1993, dipertingkat atau dinaik taraf bagi memaparkan keperluan industri moden.
“Perlindungan harta intelek amat penting dalam usaha menarik pelaburan berteknologi tinggi selain menggalakkan aspek pemindahan teknologi,” katanya.
Sementara itu, beberapa pemain industri Taiwan berkongsi keyakinan mereka terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia yang semakin pesat, terutama dipacu oleh permintaan terhadap AI serta peningkatan pelaburan di wilayah utara dan selatan negara ini.
Pengurus Besar Hanbell Precise Machinery Co Ltd, Hong Sheng Fang berkata syarikat itu yang terbabit khusus dalam teknologi vakum skru kering maju, membantu pengeluar mengurangkan kos menerusi penyelesaian vakum kering dengan meningkatkan kecekapan tenaga serta memanjangkan jangka hayat operasi.
“Fokus utama produk kami adalah berkaitan jumlah kos pemilikan dengan penggunaan tenaga yang rendah dan masa operasi lebih panjang yang dapat mengurangkan keseluruhan kos pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu telah bertindak melaksanakan pemasangan lebih 1,000 unit produk berkenaan di Malaysia.
Syarikat itu juga, katanya, berhasrat mengukuhkan kehadirannya dengan mewujukan keupayaan perkhidmatan terlebih dahulu sebelum mempertimbang operasi pemasangan di peringkat tempatan.
Dalam pada itu, Pengurus Eksport Bossmen Inc Lewis Liu berkata syarikat itu melihat permintaan kukuh bagi penyelesaian kawalan persekitaran mikro kejituan, terutama dalam pembuatan semikonduktor.
“Kami menyediakan ekosistem yang amat terkawal menggunakan sistem nitrogen dan pemantauan berasaskan data untuk memastikan penyimpanan dan pengeluaran yang optimum,” katanya.
Liu berkata Malaysia sedang mengalami pertumbuhan kukuh dalam permintaan semikonduktor, dipacu oleh pelaburan berkaitan AI yang turut menjadikan masa tepat bagi tujuan pengembangan.
“Kami menyaksikan peningkatan pertanyaan dari Pulau Pinang serta Johor. Oleh itu, sekarang adalah masa yang tepat selain terdapat banyak peluang di sini,” katanya.
-- BERNAMA