EKONOMI

Perkongsian Lebih Erat Malaysia-Filipina Penting Bentuk Masa Depan ASEAN - Ahmad Fuzi

06/05/2026 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ASEAN dengan bekerjasama rapat bersama Filipina selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, bagi memajukan inisiatif strategik serantau, kata bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berkata antara inisiatif yang dicadangkan ialah Komunal Digital ASEAN atau Hak Milik Digital Bersama ASEAN yang bertujuan mengintegrasikan ekonomi digital, tadbir urus data dan ekosistem inovasi di rantau ini, serta Inisiatif Ketahanan Rantaian Bekalan Serantau bagi meletakkan ASEAN sebagai hab pembuatan paling boleh dipercayai dan terpelbagai di dunia.

“Turut dicadangkan ialah Perkongsian Peralihan Hijau ASEAN bagi menggerakkan pelaburan sektor awam dan swasta dalam tenaga mampan serta daya tahan iklim, selain Rangka Kerja Mobiliti Bakat ASEAN untuk memudahkan pergerakan tenaga mahir merentas sempadan,” katanya dalam ucaptama pada Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN (ALPF) 2026 di sini hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan platform diplomasi Jejak 1.5 dan Jejak 2 yang menghimpunkan kerajaan, sektor perniagaan dan akademia bagi menjangka serta bertindak balas terhadap perubahan geopolitik demi kepentingan ASEAN.

“Kesemua inisiatif ini memerlukan bukan sahaja sokongan dan kepimpinan kerajaan, tetapi juga dinamisme sektor swasta serta kerjasama serantau, dengan keusahawanan sebagai pemacu utama,” katanya.

Menyentuh konsep pemusatan ASEAN, Ahmad Fuzi berkata ia perlu difahami secara praktikal, bukan sekadar platform pertemuan, tetapi merangkumi penyelarasan strategik, kredibiliti dan kesepaduan dasar.

Di peringkat nasional, beliau berkata Malaysia perlu memperkukuh daya tahan dan kepelbagaian ekonomi, mempercepat transformasi digital serta pertumbuhan hijau, selain membangunkan modal insan untuk industri masa depan.

Di peringkat serantau pula, beliau menekankan keperluan memperdalam integrasi ekonomi ASEAN termasuk ketahanan tenaga, memperkukuh perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta meningkatkan keterhubungan fizikal, digital dan kewangan.

Di peringkat global, beliau berkata ASEAN perlu terus mempertahankan multilateralisme dan perdagangan terbuka, berinteraksi secara konstruktif dengan semua kuasa besar melalui keseimbangan strategik, mengekalkan peranan teras ASEAN dalam seni bina serantau serta mengurus risiko tanpa menjejaskan keterbukaan ekonomi.

Ahmad Fuzi yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, berkata ASEAN terus berkembang bukan kerana dunia sentiasa stabil, tetapi kerana keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan kekal berdaya tahan.

Dengan populasi melebihi 680 juta orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan melebihi US$4 trilion, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia. Walaupun aliran pelaburan langsung asing (FDI) global mencatat penurunan, ASEAN berjaya menarik lebih US$226 bilion FDI, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai enjin pertumbuhan global.

Beliau menambah, kepelbagaian rantaian bekalan turut menarik pelaburan baharu ke rantau ini, khususnya dalam sektor elektronik dan pembuatan.

ALPF 2026 yang bertemakan “Navigating ASEAN in a New Geopolitical Era: Keeping Centrality, Securing Prosperity, Empowering People” menjadi platform strategik bagi perbincangan mengenai daya tahan ekonomi, transformasi digital, peralihan tenaga dan integrasi serantau.

Forum sehari itu dianjurkan bersama oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific dengan kerjasama rakan serantau utama serta disokong oleh World Digital Chamber. Ia menghimpunkan hampir 200 peserta termasuk pemimpin perniagaan dan kerajaan, dengan penyertaan ketara dari Filipina secara maya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2553504