Oleh Anas Hassan
SINGAPURA, 7 Mei (Bernama) -- Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) merampas 6,641 unit produk kesihatan haram yang dipintas di pusat pemeriksaan darat, udara dan laut dalam operasi penguatkuasaan global dikenali sebagai Operasi Pangea XVIII.
Dalam kenyataan pada Khamis, agensi itu memaklumkan Operasi Pangea XVIII yang diselaraskan Interpol dan melibatkan 90 negara, diadakan dari 10 hingga 23 Mac 2026.
Menurut HSA, kebanyakan produk yang dirampas telah dipintas melalui perkhidmatan pos termasuk ubat preskripsi seperti ubat tahan sakit atau sedatif, ubat antiparasit seperti ivermectin dan pengisi dermal.
Sepanjang operasi itu, HSA turut menurunkan 959 penyenaraian produk kesihatan haram daripada platform e-dagang dan media sosial tempatan, selain mengeluarkan amaran kepada 152 penjual.
“Produk kesihatan haram seperti ubat tidak berdaftar, peranti perubatan dan ubat herba yang dicemari bahan terlarang, selain peralatan pembuatan farmaseutikal, menjadi sasaran tindakan penguatkuasaan.
“HSA menyertai setiap edisi usaha kerjasama ini sejak Operasi Pangea mula diperkenalkan pada 2008,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Interpol dalam kenyataan berasingan memaklumkan Operasi Pangea XVIII membawa kepada rampasan 6.42 juta dos farmaseutikal tidak diluluskan dan tiruan bernilai US$15.5 juta (US$1=RM3.92).
Interpol berkata operasi itu turut membawa kepada penahanan 269 orang dan pembongkaran 66 kumpulan jenayah yang terbabit dalam perdagangan farmaseutikal haram.
“Agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia melancarkan 392 siasatan dan melaksanakan 158 waran geledah terhadap rangkaian jenayah yang mengedarkan produk perubatan tidak diluluskan, tiruan, substandard dan dipalsukan,” menurut kenyataan itu.
Interpol berkata dua bahan yang paling banyak dirampas ialah "ivermectin", yang digunakan untuk merawat jangkitan parasit dan cacing, serta "fenbendazole", ubat cacing yang hanya diluluskan untuk kegunaan veterinar.
Australia, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom turut melaporkan rampasan besar membabitkan kedua-dua bahan itu, menurut Interpol.
-- BERNAMA