JENAYAH & MAHKAMAH

Tepung Tidak Diikrar Bernilai Lebih RM50,000 Dirampas Di Bukit Kayu Hitam

12/05/2026 06:13 PM

ALOR SETAR, 12 Mei (Bernama) --  Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas 314 beg tepung seberat 6,280 kilogram (kg) bernilai lebih RM50,000 yang tidak diikrar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Fauzi Mohd Yusof berkata rampasan itu dilakukan hasil  pemeriksaan terhadap sebuah lori bernombor pendaftaran Thailand kira-kira 3.50 petang selepas imej imbasan mesin X-Ray menunjukkan ketidakselarasan pada muatan lori tersebut ketika melalui Bay Pemeriksaan Import di ICQS berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah dagangan dipercayai tidak diikrar dan disembunyikan di sebalik barang yang telah diikrarkan dalam dokumen Kastam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalamsatu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan fizikal ke atas lori itu menemukan sebanyak 314 beg tepung dengan anggaran berat keseluruhan 6,280 kg bernilai RM50,240.

Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar berkaitan dagangan yang dibawa masuk ke negara ini.

Fauzi berkata, AKPS akan terus memperketatkan kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap dagangan yang dibawa masuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak cukai atau membuat pengikraran palsu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556107