JENAYAH & MAHKAMAH

Siasatan Terhadap Jho Low Masih Diteruskan - KPN

13/05/2026 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan pihak polis walaupun muncul laporan yang mendakwa Jho Low sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

“Isu ini masih lagi dalam peringkat siasatan yang berterusan... saya melihat perkara begini agak sensitif untuk dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Dialog Khas PDRM kali kelima 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata PDRM turut menjalinkan hubungan baik dengan negara berkaitan dalam usaha meneruskan siasatan kes berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Jho Low, yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, didakwa memfailkan permohonan pengampunan daripada Trump beberapa minggu lepas.

Menurut laporan itu, sekiranya permohonan tersebut diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.

Laporan itu turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan yang dibuat atas nama Taek Jho Low dan difailkan tahun ini sebagai pending (belum selesai) bagi Pardon after Completion of Sentence (pengampunan selepas selesai menjalani hukuman).

Ahli perniagaan itu sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018 namun sehingga kini, beliau masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556514