AM

KESUMA Fokus Pembangunan Bakat, Pacu Pekerjaan Berkualiti Selaras Laporan Bank Dunia - Ramanan

14/05/2026 11:27 AM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh pembangunan bakat masa depan negara selaras dengan dapatan laporan Bank Dunia, yang menekankan aspek produktiviti dan pembangunan bakat dalam agenda pekerjaan. 

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama itu meliputi aspek pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai laluan kerjaya masa depan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital, kecerdasan buatan (AI) dan sektor berkemahiran tinggi. 

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata aspek pendedahan awal itu dilaksanakan agar pelajar dapat membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih bermaklumat sebelum memasuki pasaran kerja.

“KESUMA akan terus bekerjasama merentas kementerian bersama agensi di bawahnya serta rakan strategik industri bagi memastikan pembangunan kemahiran, latihan dan intervensi bakat dilaksanakan secara lebih berfokus, responsif dan berpaksikan hasil.

“Ini termasuk usaha meningkatkan padanan pekerjaan menerusi MyFutureJobs, memperkukuh kebolehpasaran bakat tempatan serta membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengakses pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan lebih baik,” katanya.

Ramanan berkata KESUMA mengambil maklum dapatan laporan Malaysia Economic Monitor April 2026 oleh Bank Dunia bertajuk “Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda” yang dilancarkan hari ini.

Beliau berkata laporan berkenaan menekankan bahawa agenda pekerjaan negara perlu dipacu oleh produktiviti, pembangunan bakat dan penciptaan pekerjaan berkualiti bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Laporan itu menggariskan bahawa cabaran utama Malaysia hari ini bukan lagi sekadar mewujudkan pekerjaan, tetapi memastikan pekerjaan yang diwujudkan benar-benar sepadan dengan kemahiran, produktiviti dan mampu meningkatkan pendapatan rakyat.

“Laporan itu turut menekankan bahawa pelaburan dalam AI, digitalisasi dan sektor bernilai tinggi perlu disokong oleh ekosistem kemahiran yang lebih responsif kepada permintaan industri, termasuk TVET pembelajaran sepanjang hayat dan penggunaan maklumat pasaran buruh secara lebih strategik,” katanya.

Ramanan berkata dapatan laporan ini selari dengan komitmen KESUMA untuk memastikan agenda pekerjaan negara bergerak ke arah penciptaan pekerjaan berkualiti yang dipacu oleh kemahiran, produktiviti dan padanan pasaran buruh yang lebih baik.

“Laporan Bank Dunia ini mengiktiraf bahawa pembangunan bakat, kesiapsiagaan AI dan penggunaan maklumat pasaran buruh yang tepat memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia mampu membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi serta teknologi.

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13, KESUMA melalui TalentCorp terus memperkukuh ekosistem MyMahir termasuk Future Skills Talent Council (FSTC), penggunaan data Critical Occupations List (MyCOL) serta pelaksanaan AI Readiness Index (AIRI) bagi memastikan pembangunan kemahiran negara lebih selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri,” katanya.

Laporan Bank Dunia itu turut mengiktiraf kepentingan inisiatif seperti MyMahir FSTC, platform MyMahir dan penggunaan maklumat pasaran buruh seperti MyCOL dalam membantu Malaysia membina ekosistem kemahiran yang lebih responsif dan dipacu permintaan industri.

Sementara itu, KESUMA dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa jabatan dan agensi di bawah kementerian terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard perburuhan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hubungan perusahaan, TVET dan pembangunan bakat teknikal negara.

“Ini termasuk pensijilan, pasaran buruh, penempatan pekerjaan, peningkatan gaji, perlindungan sosial dan sokongan kepada pekerja yang terkesan oleh perubahan teknologi serta ketidaktentuan struktur ekonomi, sekali gus mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan memperkasa rakyat Malaysia untuk pekerjaan berproduktiviti tinggi.

“Sejajar dengan semangat Pekerja MADANI Kesuma Bangsa, KESUMA komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan produktiviti negara diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih bermakna dan peluang masa depan yang lebih adil untuk seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556747