SUKAN

HBN 2026: KBS Sasar 150,000 Peserta Di X Park Sendayan Mulai Esok Hingga Ahad

14/05/2026 01:27 PM

REMBAU, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penglibatan sebanyak 150,000 peserta pada sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 bermula esok sehingga Ahad ini di X Park Sendayan, Seremban.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan program bertemakan Menggerak Belia MADANI’  itu pada 9 pagi.

Beliau berkata sambutan kali ini merangkumi lima segmen utama iaitu penciptaan dan peluang pekerjaan, kepimpinan, kesukarelawanan serta pengantarabangsaan, Malaysia aktif, inovasi dan digital, serta kebudayaan, kesenian dan muzik.

“Pada perasmian esok, dijangka terdapat beberapa pengumuman oleh Perdana Menteri khusus untuk golongan belia. Selain itu, beberapa inisiatif turut dilancarkan termasuk Pelan Tindakan Pembangunan Belia yang melibatkan semua kementerian dan perkara tersebut juga dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia dan Sukan.

“Anak muda diseru untuk hadir beramai-ramai pagi esok. HBN ini turut diadakan berperingkat mengikut negeri dan daerah di seluruh Malaysia dengan sasaran 4.3 juta penyertaan belia menerusi pelbagai program yang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan sukan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) kali ke-38 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong (IKTBN Chembong) di sini hari ini.

Mohamad Taufiq dalam ucapannya berkata KBS komited memastikan bakat lebih 12,000 pelajar IKTBN di seluruh negara terus diperkasa dan dimanfaatkan sebaiknya, selain memperkukuh kebolehpasaran kerjaya mereka selepas menamatkan pengajian.

“Mereka adalah aset TVET masa depan negara. Jika dilihat kepada peredaran zaman ketika ini, peluang pekerjaan tidak lagi hanya tertumpu kepada mereka yang cemerlang dalam akademik semata-mata, sebaliknya bidang kemahiran juga semakin penting dan perlu dikuasai.

“KBS menyasarkan bakat pelajar-pelajar ini bukan sahaja tertumpu dalam industri tempatan, malah mampu menjadi pilihan di peringkat antarabangsa. Ketika ini, kadar kebolehpasaran graduan pelajar tersebut mencecah 97 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2556811